KUALA LUMPUR, 24 Jan (Bernama) -- Keluarga semua penghuni penjara dibenarkan membuat lawatan perjumpaan bersempena dengan sambutan Tahun Baharu Cina pada 1 dan 2 Feb ini.
Jabatan Penjara dalam kenyataan memaklumkan lawatan itu juga melibatkan Pusat Pemulihan Akhlak, Pusat Pemulihan Khas, Tempat Tahanan Khas dan Sekolah Henry Gurney dengan keutamaan diberi kepada penghuni beragama Buddha.
Menurut kenyataan itu, terdapat dua kaedah perjumpaan, iaitu secara bersemuka dan secara dalam talian (panggilan video) dengan kaedah dalam talian akan dilaksanakan selama tiga hari bermula pada 3 hingga 5 Feb.
"Pelawat yang memilih kaedah bersemuka perlu mematuhi syarat antaranya waktu lawatan bermula dari 8.15 pagi hingga 4.15 petang.
"Selain itu, pelawat tidak dibenarkan membawa sebarang makanan dan minuman kepada penghuni serta tidak digalakkan memberi wang kepada penghuni memandangkan semua kemudahan asas telah disediakan oleh Jabatan Penjara," menurut kenyataan itu.
Bagaimanapun, menurut kenyataan itu sekiranya pelawat ingin memberi wang kepada penghuni atas urusan tertentu, seperti bayaran yuran peperiksaan dan sebagainya, pelawat diminta mendapatkan resit rasmi PPT. 28 sebagai akuan penerimaan.
Jabatan Penjara turut memaklumkan lawatan perjumpaan hanya dibenarkan kepada pelawat yang membuat janji temu menerusi tempahan, iaitu Sistem i-Visit menerusi www.prison.gov.my, panggilan telefon dan e-mel atau surat ke institusi berkenaan.
“Pelawat tertakluk kepada Akta dan Peraturan Penjara yang membolehkan pihak penjara membuat pemeriksaan fizikal ketika pelawat masuk dan keluar dari penjara dan seorang penghuni penjara hanya dibenarkan untuk menerima sekali lawatan daripada keluarga,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial