JOHOR BAHRU, 24 Jan (Bernama) -- Polis Johor berjaya menyelesaikan empat kes pecah rumah dan curi yang dilaporkan sejak awal tahun ini dengan penahanan dua lelaki tempatan pada 21 Januari lepas.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara ACP Balveer Singh Mahindar Singh berkata lelaki berusia 22 dan 27 tahun itu diberkas di sekitar kawasan Larkin pada 11.30 pagi.
Balveer Singh berkata dua lelaki berkenaan ditahan dalam tempoh enam jam selepas disyaki terlibat dalam kejadian pecah rumah di Taman Skudai Baru di sini pada 21 Januari lepas.
Beliau berkata seorang lelaki tempatan berusia 28 tahun yang merupakan mangsa dan bekerja di Singapura membuat laporan polis rumahnya dipecah masuk pada jam 5.45 pagi dengan sebuah komputer riba jenama HP, telefon bimbit iPhone 11 Pro, seutas gelang emas dan dua unit topi keledar dilaporkan hilang.
“Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di dalam rumah mangsa menunjukkan seorang lelaki memakai baju warna oren, bertopeng dan bersarung tangan menggeledah rumah pengadu.
“Susulan itu, hasil risikan kita berjaya menahan dua lelaki berkenaan dan merampas pelbagai barangan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara di sini hari ini.
Beliau berkata antara yang dirampas adalah sebuah komputer riba warna perak jenama HP, telefon bimbit iPhone 11 Pro, penutup muka warna hitam, dua buah helmet, baju warna oren tertera tulisan Dior serta beberapa barang kemas.
Seterusnya Balveer Singh menyatakan bahawa kedua-dua individu yang didapati positif dadah jenis methamphetamine itu dipercayai terlibat dalam kegiatan pecah rumah sejak awal tahun ini.
“...dengan penangkapan kedua-dua suspek ini, sebanyak empat kes pecah rumah dan curi dilaporkan sejak awal tahun ini berjaya diselesaikan,” katanya.
Tambah beliau, semakan rekod turut mendapati suspek yang berusia 22 tahun mempunyai 20 rekod lampau kesalahan jenayah dan dadah.
Kedua-dua lelaki itu direman selama lima hari sehingga 26 Jan dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 39C(1)(b) Akta Dadah Berbahaya 1952.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial