IPOH, 25 Jan (Bernama) -- Kerajaan negeri menerusi Pejabat Tanah dan Galian (PTG) menyasarkan kutipan hasil tanah berjumlah RM991 juta pada tahun ini, kata Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad.
Beliau berkata pihaknya optimis sasaran itu mampu dicapai selepas RM913.9 juta hasil tanah berjaya dikutip pada tahun lepas.
“Komitmen kerajaan negeri dalam mempertingkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan melalui pendekatan sistem digital yang membolehkan urusan tanah dilaksanakan secara dalam talian, memudahkan rakyat dan menjimatkan masa seterusnya membuktikan keberkesanannya dalam mengoptimumkan pentadbiran tanah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Hari e-Tanah peringkat negeri yang turut dihadiri Pengarah PTG Perak Datuk Mohamad Fariz Mohamad Hanip di Stadium Indera Mulia di sini hari ini.
Pada program itu, Saarani turut melancarkan tiga inovasi baharu iaitu Modul di Lapangan, Sistem eTAPS dan Aplikasi e-Tanah.
Ketiga-tiga inovasi itu bukan sahaja mempercepatkan proses pengurusan tanah tetapi juga menjadikannya lebih mudah dan efisien untuk rakyat dalam merevolusikan pengurusan tanah.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial