WILAYAH - SARAWAK > BERITA

POLIS BURU SAKI-BAKI KUMPULAN WARGA ASING SERANG BOT MARITIM MALAYSIA

25/01/2025 04:25 PM

PETALING JAYA, 25 Jan (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia sedang memburu beberapa lagi individu dipercayai saki-baki kumpulan warga asing yang menyerang bot Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di perairan Tanjung Rhu, Banting, Selangor semalam.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata perkara itu berdasarkan kapasiti bot yang dinaiki oleh kumpulan suspek berkenaan mampu memuatkan antara 15 hingga 20 orang.

“Kita percaya mungkin ada lagi individu terlibat berdasarkan kapasiti bot terbabit. Setakat ini seramai lima individu telah ditemui dengan seorang telah meninggal dunia, manakala empat lagi sedang menerima rawatan di hospital,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Kempen dan Advokasi Keselamatan Jalan Raya sempena Tahun Baharu Cina di Plaza Tol PJS2, Lebuhraya New Pantai Expressway (NPE) di sini hari ini.

Dalam kejadian pukul 3 pagi itu, bot Maritim Malaysia dilanggar empat kali oleh sebuah bot dipercayai milik suspek (mereka yang cedera) ketika menjalankan tugas rondaan perairan terbabit.

Hussein berkata pihak Maritim Malaysia turut membuat laporan polis yang menyatakan mereka telah diserang dan terpaksa melepaskan tembakan sehingga bot suspek melarikan diri dalam keadaan gelap.

“Apabila hari dah siang kira-kira 9 pagi, pihak Maritim Malaysia telah menjumpai satu bot yang di dalamnya terdapat dua individu dengan seorang darinya telah meninggal dunia kerana terkena tembakan dan telah dihantar ke Hospital Banting, manakala seorang lagi yang dalam keadaan cedera parah dihantar ke Hospital Klang untuk menerima rawatan.

“Terdahulu, pada 7 pagi hari yang sama, tiga individu yang dipercayai daripada bot itu juga telah dihantar ke Hospital Serdang oleh orang awam yang menemui mereka dalam keadaan cedera dipercayai ditembak di anggota badan,” katanya.

Dalam perkembangan kes berasingan, Hussein berkata polis sedang menunggu laporan forensik dan keputusan bedah siasat bagi menentukan punca sebenar kematian remaja perempuan berusia 15 tahun, Yap Xin Yuan.

Tambah beliau, siasatan kini tertumpu kepada kandungan dos dadah dalam badan mangsa untuk memastikan ia adalah punca kematian sebelum merujuk kes itu kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) untuk tindakan seterusnya.

Media sebelum ini melaporkan seorang suspek yang ditahan berhubung kes penemuan mayat remaja perempuan itu di RTB Sungai Changgang, Kuala Langat pada 28 Dis lepas dibebaskan sebagai saksi pendakwaan.

Suspek lelaki berumur 51 tahun itu yang sebelum ini ditahan sejak 30 Dis bersama dua lagi suspek lelaki lain berusia 16 dan 20 tahun telah diberikan jaminan dengan diikat bon di bawah Seksyen 49 Kanun Prosedur Jenayah, iaitu kuasa mengambil bon supaya hadir di mahkamah.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan