WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MALAYSIA DIJANGKA RAIH MANFAAT DARIPADA DASAR PERDAGANGAN TRUMP - ANALISIS KSI, ECKL

25/01/2025 05:56 PM

KUALA LUMPUR, 25 Jan (Bernama) -- Malaysia bersedia untuk memanfaatkan peluang besar susulan kembalinya Donald Trump sebagai Presiden Amerika Syarikat (AS), terutama dalam menarik pelaburan langsung asing (FDI) dan meningkatkan potensi eksport,

Ini berdasarkan analisis bertajuk “Trump’s Return and Its Economic Implications For Malaysia” oleh Institut Strategik KSI bagi Asia Pasifik (KSI) dan Kelab Ekonomi Kuala Lumpur (ECKL).

Menerusi kenyataan pada Sabtu, KSI dan ECKL menjelaskan, susulan rancangan Trump untuk mengenakan tarif 10 peratus ke atas barangan China mulai 1 Feb, 2025, kalangan syarikat yang ingin memindahkan barisan pengeluaran ke negara lain mungkin kembali ke Malaysia.

“Bagi Malaysia, sebagai pengeksport utama produk dan komponen elektronik ke AS, langkah sedemikian mungkin memberi kesan terhadap daya saing eksport.

“Bagaimanapun, apabila kalangan syarikat berusaha untuk mempelbagaikan rantaian bekalan dari China, industri semikonduktor Malaysia yang menguasai kira-kira 13 peratus daripada pasaran global dalam pembungkusan dan pengujian cip, mungkin dapat menarik lebih banyak pelaburan,” tambahnya.

Menurut KSI dan ECKL, peningkatan ketegangan perdagangan AS-China di bawah dasar Trump dijangka mempercepat strategi “China Plus One”, dengan syarikat mempelbagaikan asas pengeluaran mereka di luar China.

“Malaysia akan mendapat manfaat daripada peralihan ini, berpotensi menyaksikan peningkatan FDI, khususnya dalam sektor elektronik, jentera dan minyak sawit.

“Kemasukan FDI dengan banyak ini boleh menyumbang tambahan RM19.7 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dalam tempoh empat tahun, bersamaan dengan peningkatan satu peratus,” jelas KSI dan ECKL.

Analisis itu juga mengetengahkan kemungkinan kesan dasar tenaga Trump, dengan menyatakan sokongan Presiden AS itu terhadap sektor tenaga tradisional termasuk bahan api fosil, mungkin membawa peningkatan pengeluaran dan eksport AS.

“Bagi Malaysia, sebagai pengeksport minyak bersih, ini boleh mengakibatkan harga tenaga global menjadi lebih rendah, sekali gus menjejaskan hasil daripada eksport bahan api mineral,” menurutnya.

KSI dan ECKL menambah, sebaliknya, kalangan syarikat petroleum Malaysia boleh mencari peluang baharu jika AS mengurangkan insentif tenaga boleh baharu, yang mungkin menyebabkan peningkatan permintaan terhadap sumber tenaga tradisional.

Kedua-dua pihak turut berpandangan kembalinya Trump ke Rumah Putih mungkin juga menimbulkan cabaran yang memerlukan tindak balas dasar secara berhati-hati dan proaktif untuk melindungi kestabilan ekonomi.

Kekukuhan domestik Malaysia adalah meliputi kepelbagaian ekonomi, kedudukan global yang strategik, infrastruktur yang lengkap, tenaga kerja mahir dan sistem kewangan yang kukuh, tambah KSI dan ECKL.

“Pembuat dasar perlu memanfaatkan kelebihan ini dengan mempelbagaikan perkongsian perdagangan, menarik FDI, meningkatkan pendigitalan dan membina daya tahan dalam sektor utama.

“Menerusi langkah proaktif yang dilaksanakan, Malaysia boleh mengurangkan kemungkinan kesan daripada dasar Trump di samping mengekalkan pertumbuhan ekonomi yang stabil,” jelasnya.

KSI dan ECKL menjelaskan gabungan tarif AS dan cabaran ekonomi domestik China dijangka mempengaruhi ekonomi Malaysia, terutama dalam sektor pembuatan serta elektrik dan elektronik (E&E) yang dipacu eksport.

Walaupun menghadapi cabaran, kedudukan strategik dan asas ekonomi Malaysia menyediakan penampan terhadap kesan buruk, menurut KSI dan ECKL.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan