ALOR SETAR, 26 Jan (Bernama) -- Seorang kanak-kanak lelaki terpaksa menjalani pembedahan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, selepas didakwa mengalami pendarahan serius setelah berkhatan beramai-ramai semalam.
Bapa kepada kanak-kanak itu, Ahmad Mudzakkir Ahmad Mukri, 37, berkata anak sulung daripada tiga beradik berusia 11 tahun berkenaan menyertai satu program berkhatan di sebuah masjid dekat sini dengan bayaran RM50.
“Prosedur berkhatan dilakukan oleh doktor dan waris tidak dibenarkan masuk untuk melihat. Setelah selesai, doktor suruh bawa anak pulang dan tak lama selepas itu, bahagian luka pada alat sulit anak mengalami pendarahan,” dakwanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Ahmad Mudzakkir kemudian memaklumkan perkara itu kepada doktor terlibat dan diminta supaya membawa anaknya ke sebuah klinik di sini.
“Di klinik itu, doktor buka semula jahitan dan jahit kembali pada bahagian luka itu, tetapi masih berdarah dan doktor berkenaan kemudian meminta saya bawa anak ke sebuah lagi klinik di Jitra.
Ahmad Mudzakkir mendakwa, doktor di klinik itu juga membuka semula jahitan sebelum meminta dia membawa anaknya ke bahagian kecemasan HSB.
Dia berkata anaknya kemudian selamat menjalani pembedahan pada pagi tadi, dan keadaannya bertambah baik tetapi masih dirawat di HSB.
“Saya terkilan sebab anak saya terpaksa menahan sakit kerana jahitan dibuka berulang kali. Masih terngiang-ngiang suara dia meraung ketika jahitan dibuka dan dijahit semula,” katanya, yang mendakwa belum dimaklumkan tentang punca pendarahan itu setakat ini.
Ahmad Mudzakkir berkata susulan kejadian itu satu laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar, dan dia akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak terbabit sebagai peringatan agar tiada lagi kes sama berulang.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial