WILAYAH - SARAWAK > BERITA

AMANAH BOLEH MENANG BELASAN KERUSI DI KELANTAN PADA PRU16 - MOHAMAD 

26/01/2025 07:22 PM

KLANG, 26 Jan (Bernama) -- Parti Amanah Negara (Amanah) mampu memenangi belasan kerusi di Kelantan pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang, berdasarkan sokongan rakyat terhadap parti itu yang dilihat semakin baik walaupun perlahan.

Presiden Amanah Datuk Seri Mohamad Sabu berkata keyakinan itu juga bersandarkan keadaan perpaduan parti, selain rombakan kerusi yang dilakukan dengan betul.

“Memang kita tahu parti yang besar mewakili orang Melayu di Malaysia ini adalah UMNO serta PAS, dan nak muncul di tengah-tengah itu agak sukar. 

“Namun jangan lupa (sewaktu) pilihan raya lepas Perikatan Nasional (PN) memerintah (Kerajaan Persekutuan), kempen berjalan begitu hebat. Kali ini mereka tidak memerintah. Sebab itu saya yakin undi orang ramai akan berubah pada pilihan raya akan datang,” katanya dalam ucapan penggulungan pada Konvensyen Nasional Amanah 2024 di sini hari ini. 

Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan terdiri daripada 45 kerusi dengan 42 disandang PAS, dua dimenangi Barisan Nasional (BN) iaitu Galas dan Nenggiri, manakala satu lagi dimiliki Amanah iaitu Kota Lama.

Dalam perkembangan lain, Mohamad ketika ditemui pemberita berkata Konvensyen Nasional Amanah tahun ini dijangka diadakan di Pulau Pinang pada November akan datang. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan