WILAYAH - SARAWAK > BERITA

RM1.05 JUTA SUMBANGAN UNTUK KOMUNITI PULAU MABUL

26/01/2025 08:42 PM

SEMPORNA, 26 Jan (Bernama) -- Pelbagai agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menyumbang bantuan bernilai RM1.05 juta bagi program Santuni Komuniti MADANI di Pulau Mabul di sini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na'im Mokhtar berkata sumbangan itu digunakan bagi membiayai pelbagai aktiviti di bawah program berkenaan antaranya pembinaan Masjid Maqbul di atas tanah yang diwakafkan oleh seorang penduduk pulau, dan juga sumbangan kepada Madrasah Islamiah Kampung Pulau Mabul.

Beliau berkata bantuan yang disampaikan turut merangkumi sumbangan bakul makanan serta pembekalan jaket keselamatan dan lampu solar kepada komuniti Persatuan Nelayan Kampung Mabul, di samping sumbangan berbentuk kelengkapan persekolahan.

"Antara agensi yang menyumbang ialah Tabung Haji, Yayasan Taqwa Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Yayasan Pembangungan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), Tabung Musaadah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) termasuk Yayasan Waqaf Malaysia," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau turut menzahirkan rasa terima kasih kepada agensi persekutuan terbabit serta kerajaan negeri dan berharap bantuan yang diberikan itu memberi manfaat kepada penduduk.

Sementara itu Mohd Na'im meminta Jabatan Kehakiman Syariah Islam Sabah bersama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri (JHEAINS), Jabatan Imigresen dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) serta Pejabat Daerah Semporna agar dapat kerap turun padang ke Pulau Mabul bagi bersama menyelesaikan pelbagai masalah yang membelenggu penduduk, antaranya masalah ketiadaan dokumen pengenalan diri.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan