WILAYAH - SARAWAK > BERITA

JPJ CADANG WUJUD PASUKAN TINDAKAN KHAS

27/01/2025 01:56 PM

KUANTAN, 27 Jan (Bernama) -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bercadang untuk mewujudkan Pasukan Tindakan Khas dengan latihan khusus akan diberikan kepada anggota terlibat.

Ketua Pengarah JPJ Datuk Aedy Fadly Ramli berkata cadangan penubuhan pasukan berkenaan akan dibawa kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) tahun ini untuk pertimbangan terlebih dahulu.

Beliau berkata pasukan itu akan berfungsi antaranya bagi menjalankan operasi khas, risikan selain membantu negeri menyelesaikan sesuatu isu.

"Pasukan ini akan ditempatkan di ibu pejabat JPJ dan mereka akan menjalankan tugas berbeza daripada penguatkuasaan dan bantu untuk isu yang lebih kritikal.

"Saya akan berbincang secara terperinci dahulu dengan pengurusan JPJ, misalnya dari segi jumlah anggota sebelum bawa perkara ini kepada JPA," katanya pada sidang media semasa mengadakan lawatan kerja di JPJ Pahang, Indera Mahkota di sini hari ini.

Sementara itu, Aedy Fadly berkata sebanyak 22,252 notis melibatkan pelbagai kesalahan telah dikeluarkan terhadap kenderaan dan pemandu yang gagal mematuhi peraturan dalam tempoh seminggu bermula 20 Jan lepas menerusi Operasi Khas Tahun Baharu Cina 2025.

Beliau berkata notis berkenaan dikeluarkan selepas pihaknya memeriksa 100,534 kenderaan dan daripada jumlah itu, sebanyak 223 kenderaan juga telah disita.

Aedy Fadly berkata tiada lesen memandu kompeten (CDL) merekodkan kesalahan tertinggi, iaitu 4,313 kes diikuti lebih muatan (653), tidak memakai topi keledar atau tali pinggang (593), tidak mematuhi isyarat lampu merah (279) dan menggunakan telefon bimbit merekodkan 127 kes. 

Mengulas lanjut, beliau berkata JPJ turut melaksanakan pemantauan dan pemeriksaan di depoh serta terminal dengan 2,604 bas telah diperiksa.

"Sebanyak 60 kenderaan telah dikenakan tindakan dengan 61 notis dikeluarkan antaranya melibatkan kesalahan utama, iaitu memandu melebihi empat jam tanpa pemandu kedua,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya sedang meneliti prosedur operasi standard (SOP) berkaitan pemeriksaan kenderaan elektrik (EV). 

“Buat masa ini, Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) boleh menggunakan SOP sedia ada kenderaan biasa dahulu," katanya ketika diminta mengulas mengenai Puspakom yang dilaporkan masih menunggu SOP daripada JPJ berkaitan pemeriksaan kenderaan elektrik.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan