WILAYAH - SARAWAK > BERITA

HAYATI SIFAT TAHUN ULAR UNTUK MAJU KE HADAPAN - PREMIER SARAWAK

27/01/2025 05:31 PM

KUCHING, 27 Jan (Bernama) -- Sifat kebijaksanaan, gerak hati dan transformasi yang menjadi simbolik Tahun Ular menurut kalendar Cina, wajar dihayati oleh rakyat Sarawak untuk memacu agenda pembangunan negeri, kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Menerusi perutusan Tahun Baharu Cina, beliau berkata sifat ini penting untuk mengharungi peluang dan cabaran ketika negeri terus maju dan rakyatnya merenung kembali masa lepas sambil melangkah ke hadapan dengan kesedaran dan empati.

"Ia tahun yang dinamik untuk belajar daripada masa lepas. Kita semua perlu memiliki sifat-sifat ini untuk memanfaatkan sepenuhnya perjalanan sepanjang tahun baharu yang mungkin dipenuhi peluang serta cabaran," katanya.

Abang Johari berkata inisiatif strategik yang sedang dilaksanakan di Sarawak ialah bukti kepada transformasi itu, apabila negeri ini memulakan 2025 dengan langkah yang baik menerusi penghantaran pertama metanol yang dihasilkan di Bintulu ke China pada 14 Jan lepas.

"Ia dapat dicapai selepas Sarawak Petchem, sebuah syarikat petrokimia milik penuh entiti Sarawak, berjaya membangunkan kilang metanol di Tanjung Kidurong, Bintulu yang menjadi lambang tekad kita untuk memajukan sektor hiliran sumber gas asli," katanya.

Abang Johari berkata penghasilan dan penghantaran metanol itu ialah langkah pertama perjalanan Sarawak untuk memanfaatkan lebih banyak gas sebagai bahan mentah bagi menghasilkan produk lain serta menjana tenaga untuk merangsang ekonomi negeri.

"Setiap kapal kargo LNG (gas asli cecair) yang meninggalkan Bintulu ke negara lain tanpa sebarang proses tambahan pada peringkat domestik mewakili peluang yang terlepas untuk Sarawak memanfaatkan pembangunan rantaian nilai sektor hiliran gas," katanya.

Beliau turut mengulangi penghargaan kepada kerajaan Persekutuan kerana bersetuju menjadikan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) sebagai agregator gas tunggal di negeri ini, langkah penting untuk pembangunan industri gas domestik yang dapat menyediakan lebih banyak pekerjaan berpendapatan tinggi dan merancakkan ekonomi tempatan.

"Dengan pendekatan ini, saya yakin sumber gas kita dapat menjadi industri hiliran utama untuk mentransformasikan ekonomi dalam tempoh lima tahun akan datang dan seterusnya, dengan matlamat utama meningkatkan pendapatan isi rumah Sarawak supaya setanding, jika tidak melebihi purata kebangsaan," katanya.

Abang Johari berkata Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030), yang dirangka berasaskan teras kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial dan kelestarian alam sekitar juga mendapat perhatian pada peringkat domestik dan antarabangsa sebagai model transformasi ekonomi.

"Dengan kebijaksanaan dan perancangan yang teratur, saya yakin Sarawak akan menjadi wilayah berpendapatan tinggi dan maju menjelang 2030. Marilah kita mengambil inspirasi daripada Tahun Ular dan maju ke hadapan dengan ketabahan serta keazaman," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan