WILAYAH - SARAWAK > BERITA

JSJ BUKIT AMAN LAKSANA AUDIT TELITI STATISTIK KONTINJEN SELURUH NEGARA

27/01/2025 06:32 PM

KUALA LUMPUR, 27 Jan (Bernama) -- Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman akan menjalankan audit terhadap prestasi bahagian siasatan jenayah kontinjen negeri di seluruh negara, bagi menilai sejauh mana kadar indeks jenayah yang direkod memaparkan situasi di lapangan.

Pengarahnya Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata beliau secara peribadi akan turut memperhalusi semua statistik yang ditunjukkan, sama ada ia selari dengan persepsi masyarakat terhadap keselamatan mereka di negeri itu.

“Pasukan audit daripada Bukit Aman akan mengkaji semula semua statistik kejayaan atau naik turun kadar jenayah indeks di seluruh negara, untuk melihat (jika) ia relevan dengan persepsi masyarakat mengenai keselamatan mereka.

“Jika di Kedah berlaku penurunan kadar jenayah indeks, saya akan pergi untuk kaji sama ada statistik yang ditunjukkan selari dengan persepsi masyarakat dengan keselamatan mereka,” katanya kepada pemberita pada sesi libat urus bersama wartawan di Bukit Aman di sini hari ini.

Mohd Shuhaily berkata tindakan itu bukan untuk menghukum, tetapi bagi memastikan semua pengawai penyiasat di daerah dan negeri bertanggungjawab atas statististik jenayah di tempat mereka.

“Pegawai penyiasat harus menerangkan statistik berkenaan, apa tindakan yang diambil dan rancangan mereka untuk menurunkan kadar jenayah indeks itu,” katanya.

Beliau berkata hasil laporan audit itu akan diserahkan kepada Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain untuk dibawa ke pengetahuan pembuat dasar dan pemimpin negeri.

Mohd Shuhaily berkata perkara sama pernah dilakukan semasa beliau menjawat jawatan sebagai Ketua Polis Pulau Pinang pada 2021 sehingga 2023.

Pada sesi libat urus itu, Mohd Shuhaily memaklumkan hanya Kedah dan Selangor merekodkan penurunan kadar jenayah indeks pada tahun lepas, masing-masing pada kadar 10.8 peratus dan 13.3 peratus.

Beliau turut memaklumkan lebih 80 peratus kes berprofil tinggi yang berlaku tahun lepas telah berjaya diselesaikan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan