WILAYAH - SARAWAK > BERITA

WANITA WARGA SINGAPURA BUAT LAPORAN PALSU DAKWA CUBA DICULIK

28/01/2025 09:23 AM

JOHOR BAHRU, 28 Jan (Bernama) -- Seorang wanita warga Singapura yang sebelum ini mendakwa dirinya menjadi mangsa cubaan culik di kawasan sebuah pusat beli-belah di Taman Abad pada 10 Jan lepas, didapati membuat laporan palsu.

Ketua Polis Johor CP Datuk M Kumar berkata perkara itu disahkan berdasarkan hasil siasatan menerusi bukti-bukti teknikal dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian.

“Hasil siasatan polis mendapati insiden cubaan culik tersebut tidak berlaku. Rakaman CCTV serta bukti-bukti teknikal mengesahkan tiada pergerakan mangsa dikesan di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata wanita berusia 45 tahun itu membuat laporan palsu pada 22 Jan, mendakwa dirinya cuba diculik oleh seorang lelaki dan wanita yang kononnya menawarkan teh untuk dijual sempena Tahun Baharu Cina. Wanita itu juga mendakwa dipaksa menghidu teh tersebut sehingga merasa pening dan tidak sedarkan diri.

Menurut Kumar, wanita tersebut akan didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Kumar berkata kejadian tersebut turut tular di media sosial, sehingga menimbulkan pelbagai reaksi negatif daripada netizen yang mempercayai dakwaan itu.

“Malah, beberapa pempengaruh media sosial turut mengulas kejadian ini dengan mengaitkannya sebagai ancaman kepada keselamatan pelancong di Johor,” katanya.

Sehubungan itu, polis Johor memberi amaran tegas bahawa tindakan undang-undang akan diambil terhadap mana-mana pihak yang sengaja menyebarkan khabar angin atau memanipulasi fakta untuk mencetuskan kegusaran awam, terutamanya berkaitan isu keselamatan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan