LABUAN, 28 Jan -- Seorang kapten hilang manakala enam kru, yang kesemuanya rakyat Malaysia, selamat setelah sebuah kapal kargo dilaporkan karam kira-kira 1.8 batu nautika dari Tanjung Perapat, Lawas, Sarawak lewat malam tadi.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Labuan Kepten Izwanhadi Idros berkata kapal Salim Enam itu telah ditemukan terbalik oleh bot peronda agensi itu pada 6.30 pagi tadi.
“Kami menerima laporan mengenai sebuah kapal kargo yang terputus hubungan kira-kira 10.15 malam tadi. Pusat Kecil Mencari dan Menyelamat (MRSC) Kuching segera melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada 10.45 malam,” katanya kepada pemberita di pejabat Maritim Malaysia di Patau-Patau, di sini hari ini.
Beliau berkata kapal operasi Maritim Malaysia, Bistari dan bot Petir 90 dihantar dari Labuan pada 3 pagi dengan kapal kargo itu bejaya ditemukan sejurus ketibaan mereka manakala enam kru kapal yang berusia lingungan 30 hingga 45 tahun berjaya menaiki rakit keselamatan dan ditemui nelayan tempatan.
“Kami segera menyelamatkan enam kru kapal itu, dua daripadanya cedera ringan manakala empat lagi dalam keadaan stabil.
“MRSC di Sabah dan Sarawak telah mengerahkan pasukan penyelam skuba untuk mencari kapten yang dipercayai terperangkap di dalam kapal yang telah tenggelam sebahagiannya itu,” katanya.
Izwanhadi berkata cuaca buruk berkemungkinan menyumbang kepada insiden itu dan pihak berkuasa sedang meneruskan usaha mencari dan menyiasat.
Sementara itu, di SIBU Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata kapal kargo itu membawa muatan batu yang dalam perjalanan dari Sipitang, Sabah menuju ke Brunei sebelum karam di perairan Awat-Awat Sundar, Lawas.
Beliau berkata gerakan mencari dan menyelamat dilakukan termasuk di pesisiran pantai, namun setakat 12.59 tengah hari tadi, seorang mangsa yang hilang itu masih belum ditemukan.
“Operasi turut melibatkan 11 anggota polis dan tiga anggota Pengawal Pantai Sarawak (SCG),” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial