WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SSM LANCAR AKSES KEPADA MAKLUMAT PEMUNYA BENEFISIAL, PERKUKUH KETELUSAN KORPORAT

28/01/2025 05:16 PM

KUALA LUMPUR, 28 Jan (Bernama) -- Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) melancarkan kemudahan akses kepada maklumat mengenai pemunya benefisial syarikat bagi memperkukuhkan ketelusan dalam urusan korporat.

Langkah ini diambil melalui inisiatif Pembekalan Maklumat Pemunyaan Benefisial selaras dengan Peraturan-Peraturan Syarikat (Akses Kepada Daftar dan Maklumat Yang Berhubungan Pemunyaan Benefisial) 2025 yang berkuat kuasa 10 Januari, 2025.

Ia bertujuan untuk menyediakan maklumat pemunyaan benefisial syarikat-syarikat di Malaysia yang tepat dan terkini, seterusnya menjadi langkah penting dalam memerangi aktiviti seperti pengubahan wang haram, pembiayaan keganasan, rasuah dan pengelakan cukai.

Dalam kenyataan hari ini, SSM berkata ia telah mewajibkan serah simpan maklumat pemunyaan benefisial bermula 1 April, 2024.

Katanya di bawah Seksyen 56 Akta Syarikat 2016, syarikat-syarikat diwajibkan untuk mendapatkan, merekodkan dan melaporkan maklumat pemunya benefisial kepada pendaftar.

Sehingga 31 Disember, 2024, sebanyak 602,105 daripada 691,690 syarikat aktif dalam daftar SSM telah mematuhi keperluan untuk mengemukakan maklumat pemunyaan benefisial dengan kadar pematuhan sebanyak 87.05 peratus.

“Pengenalan Pembekalan Maklumat Pemunyaan Benefisial dapat memberi manfaat kepada semua pihak berkepentingan, termasuk agensi-agensi penguat kuasa yang disenaraikan di bawah Seksyen 3(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 [Akta 613], institusi-institusi pelapor yang terlibat dalam aktiviti-aktiviti yang dinyatakan di bawah Jadual Pertama Akta yang sama serta Kementerian Kewangan yang melaksanakan fungsi perolehan kerajaan.

“Antara maklumat yang boleh diperoleh melalui inisiatif ini merangkumi nama pemunya benefisial, tarikh pelantikan sebagai pemunya benefisial, kategori pemunya benefisial serta status syarikat,” jelasnya.

SSM berkata pembekalan maklumat pemunyaan benefisial kini ditawarkan pada peringkat awal melalui kaunter di Menara SSM@Sentral dan akan diperluaskan secara dalam talian dan tarikh pelaksanaannya akan diumumkan kelak.

Bagi tujuan pembelian maklumat, pemohon perlu mendaftar sebagai pengguna dan mengesahkan pendaftaran melalui portal SSM4U dipautan www.ssm4u.com.my.

Pengguna sedia ada portal SSM4U yang telah disahkan tidak perlu melalui proses pendaftaran semula.

Kata SSM, fi bagi setiap permohonan adalah sebanyak RM20 secara tunai bagi setiap syarikat dan maklumat pemunyaan benefisial akan dibekalkan kepada pemohon dalam format PDF melalui e-mel dalam tempoh tiga hari bekerja dari tarikh permohonan lengkap diterima.

Setiap permohonan untuk mendapatkan maklumat pemunyaan benefisial pihak ketiga, perlu disertakan dengan surat kebenaran bertulis daripada organisasi atau institusi berkaitan bagi membolehkan pembekalan maklumat tersebut.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan