WILAYAH - SARAWAK > BERITA

69 PERMOHONAN PPR BESTARI JAYA DILULUSKAN SETAKAT INI - EXCO

28/01/2025 07:32 PM

SHAH ALAM, 28 Jan (Bernama) -- Sebanyak 69 permohonan untuk menduduki Projek Perumahan Rakyat (PPR) Bestari Jaya disahkan layak setakat ini, kata Exco Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan Selangor V. Papparaidu. 

Beliau berkata baki 176 permohonan untuk 245 buah rumah yang dibina bagi menyelesaikan isu perumahan keluarga bekas pekerja lima buah ladang di Kuala Selangor itu masih perlu melalui proses pengesahan lanjut. 

"Sebanyak 69 permohonan bekas pekerja ladang itu telah disahkan Berjaya Corporation Berhad, tetapi yang lain perlu membuktikan telah memenuhi syarat kepada Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) sebelum diluluskan," katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Program Bantuan Peralatan Usahawan India Selangor (I-Seed) di sini hari ini. 

Papparaidu turut menafikan dakwaan beliau mempunyai kuasa mutlak untuk menentukan kelulusan permohonan PPR berkenaan selain menegaskan segala proses penilaian yang telus dilakukan LPHS dengan beliau hanya sebagai pelulus terakhir. 

"Saya ambil maklum ada laporan polis ke atas saya sebelum ini mengenai perkara ini, jadi saya ingin tegaskan di sini, sebarang dokumen pembuktian perlu dihantar kepada LPHS bagi proses penilaian dan mereka akan hantar laporan kepada saya sebelum diluluskan," katanya.  

Beliau berkata kerajaan negeri dijadualkan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada bulan hadapan untuk menyelaraskan beberapa perkara membabitkan projek berkenaan. 

Sebelum ini, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming dilaporkan berkata projek RM75 juta itu dijangka siap pada 2026 dan dibina dengan kerjasama kerajaan negeri Selangor dan Berjaya Corp yang dijangka memberi manfaat kepada 1,250 penduduk secara keseluruhan.

Pembinaan PPR di kawasan seluas 8.09 hektar di Lot 25, Ladang Sungai Tinggi, Kuala Selangor itu bagi menyelesaikan isu pemilikan rumah melibatkan bekas pekerja lima estet iaitu Ladang Mary, Ladang Nigel Gardner, Ladang Bukit Tagar, Ladang Sungai Tinggi dan Ladang Minyak yang berlarutan sejak 1998.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan