Oleh V. Sankara
KUALA LUMPUR, 28 Jan (Bernama) -- India kini muncul sebagai sumber pelancong yang paling pesat berkembang ke Malaysia, dengan ketibaan melebihi satu juta orang buat pertama kali pada 2024, kata Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia B.N. Reddy.
Reddy berkata kira-kira 400,000 rakyat Malaysia telah melancong ke India tahun lalu, yang menekankan hubungan kukuh antara rakyat kedua-dua negara.
Pesuruhjaya Tinggi itu turut menyatakan langkah Malaysia memudahkan kemasukan tanpa visa untuk warga India, yang seterusnya merangsang pertukaran antara rakyat kedua-dua negara.
“Dengan Tahun Pelancongan ASEAN-India pada 2025 dan Tahun Pelancongan Malaysia pada 2026, kami menjangkakan pertumbuhan signifikan dalam sektor ini, yang akan terus mengukuhkan hubungan antara kedua-dua negara,” katanya semasa majlis resepsi sempena Hari Republik India ke-76 di sebuah hotel di sini pada Isnin.
Menteri Digital Gobind Singh Deo menghadiri majlis resepsi sebagai tetamu kehormat bersama tetamu kenamaan lain termasuk anggota kor diplomatik.
Diplomat itu menyuarakan keyakinan bahawa hubungan antara India dan Malaysia, yang disokong oleh pertumbuhan dinamik India dan gagasan Malaysia Madani, akan terus diperkukuh.
Reddy menegaskan sokongan teguh India terhadap Malaysia selaku Pengerusi ASEAN pada tahun ini, yang mencerminkan komitmen India terhadap perpaduan, pemusatan ASEAN serta pandangannya terhadap Indo-Pasifik.
“Perdana Menteri India Narendra Modi, telah menyampaikan sokongan penuh India kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia. Ini menandakan satu detik penting dalam perkongsian kami,” katanya.
Hubungan India-Malaysia telah dipertingkatkan kepada tahap perkongsian strategik komprehensif, yang diperkukuh lagi dengan pelancaran Majlis Digital Malaysia-India awal bulan ini, yang bertujuan meningkatkan kerjasama digital antara kedua-dua negara.
Reddy turut mengetengahkan Dialog Keselamatan India-Malaysia pertama yang diadakan bulan ini, yang disifatkannya sebagai platform penting untuk memajukan kerjasama keselamatan dua hala.
Perdagangan dua hala antara India dan Malaysia mencecah US$20 bilion pada 2024, dengan kedua-dua kerajaan menyasarkan peningkatan angka itu kepada US$25 bilion menjelang 2026.
Selain itu, lebih 200 syarikat India beroperasi di Malaysia, yang menyumbang kepada pelaburan dan mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti.
“Industri pelancongan yang rancak dan peningkatan hubungan adalah pemacu utama hubungan dua hala kami, membuka jalan untuk kerjasama yang lebih erat pada tahun-tahun akan datang,” kata Reddy, sambil mengakui peranan diaspora India dengan 2.7 juta orang keturunan India menetap di Malaysia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial