WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SAMBUTAN TAHUN BAHARU CINA DI SABAH, SARAWAK SEDERHANA NAMUN MERIAH

29/01/2025 01:44 PM

KUALA LUMPUR, 29 Jan (Bernama) -- Masyarakat Cina di Sarawak dan Sabah merayakan tahun baharu hari ini dalam suasana penuh keceriaan dan kegembiraan walaupun secara sederhana, seiring dengan “aura” Tahun Ular yang mengikut kepercayaan masyarakat itu membawa kegembiraan, tenaga positif dan kemakmuran yang melimpah.

Kedatangan Tahun Baharu Cina itu disambut penganut Buddha dengan berkunjung ke tokong-tokong bagi upacara keagamaan selain memohon hajat sebelum menziarahi ahli keluarga yang lain.

Kemeriahan perayaan itu bukan sahaja dirasai oleh masyarakat Cina, tetapi turut diraikan oleh penduduk di Sarawak dan Sabah yang berbilang bangsa dan etnik dengan aktiviti berkunjung ke rumah rakan dan saudara serta menghadiri majlis rumah terbuka.

Di SARAWAK, majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina peringkat negeri berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) meriah dengan kehadiaran orang ramai, mencerminkan semangat perpaduan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum di negeri itu.

Majlis yang dianjurkan Timbalan Premier Sarawak Datuk Dr Sim Kui Hian itu dihadiri Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri Toh Puan Fauziah Sanusi diiringi oleh Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta isteri Puan Sri Datuk Juma’ani Tun Tuanku Bujang.

Acara berkenaan dimeriahkan dengan pelbagai persembahan kebudayaan termasuk tarian singa dan persembahan muzik tradisional yang menggambarkan keunikan warisan masyarakat Cina di negeri itu. 

Hadirin turut berpeluang menikmati jamuan istimewa berkonsepkan tradisi perayaan sekali gus mengeratkan hubungan antara pemimpin dengan rakyat dalam suasana penuh kemesraan.

Sementara itu di SABAH, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dalam perutusan Tahun Baharu Cina berkata kepelbagaian bangsa dan agama tidak memisahkan hubungan, malah membantu membina sebuah masyarakat yang harmoni di negeri berkenaan.

Hajiji turut memberi jaminan bahawa kesejahteraan rakyat termasuk masyarakat Tionghua akan terus diberi keutamaan dan mengucapkan terima kasih kepada masyarakat Tionghua atas sokongan berterusan yang diberikan dalam membangunkan negeri Sabah.

“Marilah kita rapatkan barisan ke arah Sabah lebih maju serta progresif dan pertahankan hubungan persaudaraan yang harmoni ini agar terus menjadi tunjang pembangunan dan keamanan negeri," katanya.

Hajiji juga dijadualkan menghadiri Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina di Dewan Sekolah Menengah Yu Yuan, Sandakan bersama menteri-menteri Kabinet Sabah hari ini.

Yang Dipertua Negeri Tun Musa Aman dan isteri Toh Puan Faridah Tussin juga turut dijadualkan menghadiri majlis berkenaan yang bermula pada 9 pagi hingga 2.30 petang ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan