WILAYAH - SARAWAK > BERITA

BANJIR DI SARAWAK: JUMLAH MANGSA MENINGKAT KE 5,385 ORANG

30/01/2025 10:38 AM

KUCHING, 30 Jan (Bernama) -- Jumlah mangsa banjir di Sarawak meningkat mendadak setakat 8.00 pagi ini, dengan seramai 5,385 orang daripada 1,505 keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Menurut laporan terbaharu Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak, jumlah ini hampir sekali ganda lebih tinggi berbanding 2,981 mangsa daripada 862 keluarga yang direkodkan semalam.

Daerah Bintulu mencatatkan jumlah mangsa tertinggi, dengan 1,481 orang daripada 396 keluarga ditempatkan di enam PPS. Serian pula mencatatkan seramai 1,442 mangsa daripada 446 keluarga yang berlindung di 15 PPS.

Sementara itu, jumlah daerah yang terjejas turut meningkat kepada 14 berbanding 12 daerah sehingga 8.00 malam semalam dengan jumlah PPS yang diaktifkan meningkat dari 36 kepada 47.

Sementara itu, di Sabah, jumlah mangsa banjir terus meningkat mendadak kepada 2,240 mangsa daripada 771 keluarga pada pagi ini, berbanding 1,019 mangsa daripada 291 keluarga malam tadi melibatkan lapan daerah. 

Laman sesawang InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memaklumkan Kota Belud dan Paitan merupakan kawasan terbaharu yang dilanda banjir pagi ini, selain Kota Marudu, Beaufort, Beluran, Tongod, Telupid dan Sandakan.

Kota Marudu kekal menjadi daerah mempunyai paling ramai mangsa banjir dipindahkan iaitu 1,467 mangsa daripada 566 keluarga yang ditempatkan di lima PPS, diikuti Telupid 195 mangsa daripada 48 keluarga di dua PPS, dan Beluran 190 mangsa daripada 55 keluarga di tiga PPS. 

Di Sandakan, seramai 118 mangsa daripada 28 keluarga ditempatkan di satu PPS, Beaufort 102 orang daripada 29 keluarga di satu PPS, Kota Belud mencatakan 92 mangsa daripada 21 keluarga di dua PPS, Tongod dengan 54 mangsa daripada 13 keluarga di satu PPS, dan Paitan 22 mangsa daripada 11 keluarga di dua PPS.

Sementara itu, daripada 17 PPS yang dibuka, tiga PPS terpaksa beroperasi melebihi kapasiti 100 peratus iaitu Sekolah Kebangsaan Kota Marudu pada 141.5 peratus dengan 283 mangsa daripada 154 keluarga.

Dewan Kampung Balaban Jaya di Beluran pula beroperasi pada kapasiti 128 peratus dengan 128 mangsa daripada 34 keluarga, manakala Mini Dewan Kampung Bauto di Telupid mencatatkan kadar 115.83 peratus dengan 139 mangsa daripada 32 keluarga.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan