WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KANAK-KANAK TUJUH TAHUN MAUT DIPERCAYAI DIDERA IBU BAPA

30/01/2025 11:43 AM

KUALA LUMPUR, 30 Jan (Bernama) -- Seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun meninggal dunia semalam selepas dipercayai didera ibu bapanya di Kajang, Selangor.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Naazron Abdul Yusof berkata pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian daripada pihak Hospital Kajang pada 1.11 pagi, semalam.

“Pihak hospital memaklumkan telah menerima seorang pesakit kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun yang dibawa oleh ibu bapanya dalam keadaan tidak sedarkan diri, namun disahkan meninggal dunia ketika dirawat di wad kecemasan zon merah hospital berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata hasil bedah siasat menemukan banyak kesan kecederaan lama dan baharu pada fizikal mangsa dan punca kematian adalah disebabkan kecederaan di perut akibat objek tumpul.

Susulan itu, katanya kedua ibu bapa mangsa yang berusia 30-an dan 40-an ditahan dan akan direman untuk membantu siasatan kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Naazron meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu menghubungi balai polis terdekat atau pegawai penyiasat ASP Nur Ayuni Abd Aziz menerusi talian 016-2080717.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan