WILAYAH - SARAWAK > BERITA

BANTUAN AWAL RM1,000 BAGI SETIAP KIR BERDAFTAR DI PPS - TPM FADILLAH

30/01/2025 09:02 PM

BINTULU, 30 Jan (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof hari ini mengumumkan bantuan awal berjumlah RM1,000 kepada setiap Ketua Isi Rumah (KIR) yang berdaftar dan dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Bantuan itu adalah komitmen kerajaan Persekutuan dalam membantu meringankan beban mangsa yang berdepan situasi mencabar akibat bencana banjir.

“Saya juga akan berbincang dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai bantuan lain yang diperlukan setelah mendapat laporan penuh daripada bahagian jawatankuasa bencana daerah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau PPS Dewan Suarah Bintulu bersama Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas hari ini.

Fadillah berkata kerajaan juga sedang menyelaras penghantaran bekalan tambahan seperti tilam dan selimut dari bahagian lain termasuk dari Kuching ke Bintulu.

Pada masa sama beliau berkata satu lagi PPS akan dibuka di Paragon NAIM Street Mall yang mampu menampung 1,000 mangsa.

Timbalan Perdana Menteri turut menasihatkan mangsa banjir supaya mematuhi segala arahan pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan dan bantuan sewajarnya dapat disalurkan. 

Mangsa banjir juga diminta mendaftar dengan pusat pemindahan dan menghubungi pejabat daerah ataupun pejabat residen untuk mendapatkan bantuan.

Fadillah merakamkan ucapan terima kasih kepada Pejabat Residen Bintulu serta semua agensi, pasukan penyelamat dan sukarelawan serta semua pihak yang telah banyak membantu mangsa yang terjejas banjir. 

Beliau juga mengucapkan syabas kepada Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing yang telah turun ke padang membantu mangsa banjir di kawasan Parlimen Bintulu.

Fadillah mendoakan agar keadaan segera pulih dan semua mangsa banjir dapat kembali ke kediaman masing-masing.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan