WILAYAH - SABAH > BERITA

BANJIR: JPN SABAH AKTIFKAN OPS PAYUNG BANTU PELAJAR DUDUKI SPM

31/01/2025 05:33 PM

KOTA KINABALU, 31 Jan (Bernama) -- Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah mengaktifkan Ops Payung bagi memastikan semua calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) khususnya di kawasan dilanda banjir dapat menduduki peperiksaan itu dengan selamat.

Pengarah JPN Sabah Datuk Raisin Saidin berkata setakat ini calon SPM di Sabah berada dalam keadaan selamat dan JPN sentiasa memantau situasi banjir di kawasan yang terjejas.

"Semua Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) diarah untuk melaksanakan Ops Payung semaksimumnya bersama rakan strategik JPN untuk memberi bantuan kepada pelajar SPM," katanya ketika dihubungi Bernama.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata JPN diarah mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan calon peperiksaan SPM yang terjejas dapat menjalani peperiksaan dengan selamat dan kondusif.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah melaporkan jumlah mangsa banjir terus meningkat kepada 5,617 orang daripada 1,899 keluarga setakat 8 pagi ini dengan 39 pusat pemindahan sementara dibuka berbanding 4,383 orang daripada 1,475 keluarga malam tadi.

Peperiksaan SPM dijadual berakhir pada Khamis ini dengan subjek terakhir adalah Geografi Kertas 2 bermula 2 petang.

Raisin berkata rakan strategik JPN Sabah melibatkan agensi lain antaranya Jabatan Bomba Penyelamat Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam.

Beliau berkata JPN akan memastikan semua pusat peperiksan tidak terjejas selain turut menasihatkan pelajar terutama calon SPM agar menjaga keselamatan diri lebih-lebih lagi di kawasan dilanda banjir.

Beliau berkata beberapa sekolah turut menjadi PPS di daerah yang dilanda banjir seperti Kota Marudu, Lahad Datu dan Sandakan.

“Semua pelajar serta petugas juga dinasihatkan supaya sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga serta mematuhi arahan pihak berkuasa ketika banjir,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan