WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MENTERI KABINET UCAP SELAMAT HARI WILAYAH PERSEKUTUAN 2025, DOAKAN TERUS MAKMUR

01/02/2025 04:08 PM

KUALA LUMPUR, 1 Feb (Bernama) -- Barisan menteri Kabinet hari ini mengucapkan selamat menyambut Hari Wilayah Persekutuan 2025 dengan mendoakan Wilayah Persekutuan kekal mampan dan makmur buat semua.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menerusi catatan di Facebook mengajak rakyat untuk terus berusaha menjadikan Wilayah Persekutuan lebih inklusif, lestari, dan sejahtera manakala Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek pula mendoakan agar ia kekal sejahtera, makmur dan harmoni.

 Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu pula berkata tema rasmi sambutan iaitu ‘Wilayah Persekutuan Kita’ mencerminkan nilai perpaduan dan tanggungjawab  bersama dalam membangunkan Wilayah Persekutuan sebagai kawasan yang maju, inklusif dan sejahtera.

“Kejayaan dan kesejahteraan wilayah ini adalah hasil usaha serta perpaduan kita semua tanpa mengira latar belakang.

“Marilah kita terus memperkukuhkan semangat perpaduan, memelihara keharmonian, dan bekerjasama demi kemajuan negara. Semoga Wilayah Persekutuan terus berkembang sebagai sebuah bandar raya bertaraf dunia yang makmur dan lestari,” katanya dalam catatan di Facebook.

Turut mengucapkan selamat Hari Wilayah Persekutuan 2025 ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar dan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

 Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dalam catatan di Facebook turut mendoakan semoga Wilayah Persekutuan terus makmur dengan semangat perpaduan, inovasi, dan kesejahteraan.

“Bersama kita membina masa depan yang lebih gemilang untuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, dan Labuan. Ayuh semua warga Wilayah Persekutuan, terus berusaha membangunkan komuniti yang lebih lestari, inklusif, dan harmoni demi kemajuan Malaysia lebih progresif,” katanya.

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata Wilayah Persekutuan bukan sekadar pusat pentadbiran dan ekonomi negara tetapi juga lambang keharmonian serta kemajuan Malaysia.

“Keunikan dan kepelbagaian yang ada mencerminkan aspirasi kita sebagai sebuah negara yang bersatu padu, dinamik, dan inklusif.

“Sebagai warga Malaysia, marilah kita bersama-sama memainkan peranan dalam memastikan Wilayah Persekutuan terus berkembang pesat sebagai pusat inovasi, kemakmuran, dan kesejahteraan untuk semua,” katanya dalam catatan di Facebook.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan