PETALING JAYA, 3 Feb (Bernama) -- Sebanyak 142 keping gambar berkaitan kes Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin termasuk ketika kanak-kanak itu sedang memakai lampin pakai buang dikemukakan di Mahkamah Sesyen hari ini, semasa perbicaraan kes pengabaian yang dihadapi ibu bapa kanak-kanak autistik itu.
Jurufoto dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya Detektif Koperal Mohamad Hirwan Arifin, 45, turut mengesahkan gambar-gambar mangsa yang mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan dan barangan milik kanak-kanak malang itu.
Ketika saksi pendakwaan pertama itu dirujuk dengan gambar-gambar berkaitan mangsa oleh Timbalan Pendakwa Raya Kamarul Iman Ahmad Sapian, kedua-dua tertuduh iaitu Zaim Ikhwan Zahari dan isterinya Ismanira Abdul Manaf dilihat menangis dan sebak dari kandang tertuduh.
Prosiding kemudian ditangguhkan seketika susulan Zaim Ikhwan memohon ke tandas.
Selepas beberapa minit, prosiding bersambung dan ketika menceritakan tugasan yang dilakukannya ketika siasatan kes itu, Mohamad Hirwan berkata pada 7 Dis 2023 beliau menerima arahan daripada pengawai penyiasat ASP Mohd Hafizee Ismail untuk mengambil gambar bedah siasat mangsa di Hospital Sungai Buloh.
Saksi pendakwaan pertama itu berkata gambar-gambar bedah siasat itu adalah berkaitan laporan polis yang dibuat di Kota Damansara berkaitan kejadian Orang Hilang (OH).
Saksi turut memaklumkan pada 8 Dis 2023 beliau menerima arahan daripada seorang lagi pegawai penyiasat Insp Nina Syamimi Syamsuddin, untuk pergi ke tempat kejadian di Apartment Idaman, Damansara Damai untuk mengambil gambar berkaitan kes OH.
Mohamad Hirwan juga mengemukakan gambar di lokasi kejadian iaitu Blok R Apartment Idaman, stor barangan, pintu luar dalam rumah mangsa dan lokasi tangga.
Pada 13 Dis 2023, katanya Mohd Hafizee telah mengarahnya untuk mengambil gambar beg mangsa yang berwarna biru, merah kuning putih terdapat perkataan S di tengah-tengah beg serta satu beg kecil berwarna biru merah serta ada gambar kartun bersama botol air berwarna hijau.
Pada 21 Jan, Zaim Ikhwan dan Ismanira memfailkan notis usul di Mahkamah Tinggi Shah Alam bagi membatalkan pertuduhan tersebut dan memohon agar mereka dilepas dan dibebaskan serta-merta daripada pertuduhan berkenaan, yang tidak mendedahkan sebarang kesalahan di bawah Seksyen 31 Akta Kanak-Kanak 2001.
Pada 13 Jun 2024, Zaim Ikhwan dan Ismanira, kedua-duanya berumur 30 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas satu pertuduhan mengabaikan kanak-kanak autistik berusia enam tahun itu, dengan cara kemungkinan menyebabkan kecederaan fizikal terhadapnya di sekitar jalan PJU Damansara Damai di sini pada 12 tengah hari, 5 Dis hingga 9.55 malam, 6 Dis 2023.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31 (1) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pada 6 Dis 2023, mayat Zayn Rayyan ditemukan di aliran anak sungai berhampiran rumahnya di Apartment Idaman, Damansara Damai dekat sini, selepas dilaporkan hilang sehari sebelumnya.
Kanak-kanak itu dipercayai dibunuh apabila hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher serta badannya akibat mempertahankan diri.
Perbicaraan kes di hadapan Hakim Dr Syahliza Warnoh bersambung esok.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial