KUCHING, 3 Feb (Bernama) -- Banjir bukan sahaja merosakkan harta benda, malah turut meninggalkan kesan emosi yang mendalam kepada mangsa yang terjejas.
Demikian luahan Mohd Shafik Sebi, 38, penduduk Kampung Tebakang Melayu, yang terletak kira-kira 69 kilometer dari bandar raya ini, selepas kampungnya dilanda banjir pada 28 Jan lalu.
“Kesan banjir kali ini sangat mendalam. Ia bukan sahaja meninggalkan kesan emosi, tetapi juga kerugian besar kepada penduduk setempat yang tidak pernah berputus asa meskipun menghadapi ujian berat,” katanya kepada Bernama.
Menurutnya pada hari kejadian, kira-kira pukul 10 pagi, air melimpah dengan sangat cepat disertai hujan lebat yang berterusan. Air dari Sungai Tebakang melimpah lebih tinggi daripada biasa.
Mohd Shafik dan keluarganya segera mengemas barangan penting dan memindahkan perabot ke tempat yang lebih tinggi, namun air naik begitu cepat sehingga banyak harta benda tidak dapat diselamatkan.
“Banjir kali ini sangat berbeza, airnya tidak surut selama hampir empat hari. Banyak harta benda kami musnah kerana terendam terlalu lama dalam air," katanya dengan nada sedih.
Beliau turut berkongsi kesulitan yang dihadapi, bukan sahaja kerana kerugian material, tetapi juga disebabkan ketiadaan bantuan bagi keluarga yang tidak berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
"Kami tidak dapat berpindah ke PPS kerana tempat itu sudah penuh. Air juga sangat deras, kami tidak dapat bergerak demi keselamatan diri," jelasnya.
Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan dapat mengagihkan bantuan kepada semua mangsa yang terjejas tanpa mengira sama ada mereka berpindah ke PPS atau tidak.
“Ramai penduduk kampung turut mengalami kerugian besar akibat bencana ini,” katanya.
Mohd Shafik menganggarkan jumlah kerugian yang dialaminya antara RM5,000 hingga RM8,000 melibatkan perabot serta barangan elektrik yang rosak akibat banjir.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial