KUALA LUMPUR, 4 Feb (Bernama) -- Kos pelaksanaan Program Latihan Khidmat Negara 3.0 lebih rendah berbanding dua siri program berkenaan sebelum ini, dengan anggaran kos bagi seorang pelatih sebanyak RM2,000.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata pelaksanaan PLKN 1.0 melibatkan kos tahunan RM565 juta dengan 71,300 peserta, manakala PLKN 2.0 berjumlah RM361 juta melibatkan 20,000 peserta.
“Bagi PLKN 3.0, kos tahunannya RM200 juta tetapi melibatkan peserta melebihi 100,000 orang kerana ia bukan sahaja dibuat di kem wataniah melalui Angkatan Tentera Malaysia tetapi ia juga dilaksanakan di universiti dan politeknik.
“Maka kos setiap pelatih jika PLKN 1.0 RM7,900 seorang, PLKN 2.0 adalah RM18,000 seorang manakala PLKN 3.0 hanya RM2,000 seorang,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (MUDA-Muar) yang mempersoalkan mengenai kos seorang pelatih PLKN 3.0 yang tinggi serta pengisian program dalam latihan ketenteraan.
Mohamed Khaled berkata pihaknya akan mengadakan pemantauan bagi memastikan keberkesanan PLKN 3.0 yang melibatkan pelbagai pihak.
“Kaedah penilaian ini termasuk pemantauan semasa program, penilaian berterusan dan pengukuran selepas tamat program,” katanya.
PLKN 3.0 siri pertama 2025 yang melibatkan 120 pelatih telah dimulakan di Kem Rejimen 515 Askar Wataniah Kuala Lumpur pada 12 Jan lepas.
Program itu dilaksanakan kembali selepas tujuh tahun dimansuhkan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial