BANGKOK, 5 Feb (Bernama-CMG) -- Kabinet Thailand pada Selasa meluluskan pembinaan fasa kedua projek kereta api berkelajuan tinggi (HSR) China-Thailand iaitu laluan antara Nakhon Ratchasima dan Nong Khai, yang dijangka siap menjelang 2030.
Sebagai projek usaha sama dua negara di bawah Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI), HSR ini adalah rel pertama seumpamanya di Thailand.
Projek HSR China-Thailand itu terbahagi kepada dua fasa dengan pembinaan fasa pertama membabitkan laluan antara Bangkok dengan Nakhon Ratchasima di timur laut Thailand.
Fasa kedua dipanjangkan ke wilayah Nong Khai untuk disambung dengan landasan kereta api China-Laos dan akhirnya akan terus ke Kunming, provinsi Yunnan di barat daya China.
Jurucakap Pejabat Perdana Menteri Jirayu Huangsub berkata fasa kedua projek HSR yang dicadangkan oleh Kementerian Pengangkutan Thailand itu merangkumi dua bahagian dengan panjang keseluruhannya kira-kira 357 kilometer (km).
Bahagian pertama adalah membina rel yang menghubungkan seksyen Bangkok-Nakhon Ratchasima dengan menyediakan lima hentian sepanjang perjalanan.
Bahagian kedua pula membabitkan pembinaan sebuah pusat transit kargo di wilayah Nong Khai bagi menawarkan perkhidmatan sehenti kepada pengangkutan kereta api rentas sempadan.
Menurut Jirayu, pembinaan fasa pertama dari Bangkok ke Nakhon Ratchasima yang panjangnya kira-kira 253 km sudah siap 35.74 peratus dan dijangka mula beroperasi pada 2028.
Selepas projek berkenaan siap sepenuhnya, ia akan menjadi penggerak baharu bagi memacu pembangunan sosioekonomi Thailand serta kesalinghubungan serantau.
--BERNAMA-CMG
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial