NEW YORK, 7 Feb (Bernama-WAFA) -- Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) pada Khamis memberi amaran bahawa hujan lebat dan angin kencang di Gaza mengancam ratusan ribu penduduk Palestin dengan cuaca sejuk yang teruk.
Menurut Agensi Berita dan Penerangan Palestin (WAFA), ancaman ini timbul selepas rumah mereka musnah akibat serangan Israel selama 15 bulan.
Dalam satu hantaran di platform X, UNRWA menyatakan ramai keluarga Palestin masih tinggal di tempat perlindungan sementara akibat kemusnahan besar di seluruh Gaza, dengan cuaca buruk baru-baru ini, termasuk hujan lebat dan angin kencang, memburukkan lagi keadaan.
“Hujan lebat dan angin kencang di Gaza menyebabkan ratusan ribu orang terdedah kepada keadaan sejuk dan basah dalam tempoh 24 jam lepas. Ramai keluarga masih berlindung di tempat perlindungan sementara berikutan kemusnahan yang meluas,” kata UNRWA.
UNRWA turut memaklumkan bahawa pasukannya terus menyediakan bantuan segera yang amat diperlukan, termasuk khemah, tilam, selimut dan pakaian bagi penduduk yang kehilangan tempat tinggal di seluruh wilayah berkenaan.
Agensi itu turut menyiarkan video yang menunjukkan angin kencang menerbangkan khemah sementara yang diperbuat daripada kain dan nilon, serta mencampakkan barangan penduduk yang terjejas di kawasan Al-Mawasi, barat laut Khan Younis di selatan Gaza.
-- BERNAMA-WAFA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial