WILAYAH - SARAWAK > BERITA

ITC DIGESA KEMBANGKAN PELANCONGAN MESRA MUSLIM

07/02/2025 10:58 PM

PETALING JAYA, 7 Feb (Bernama) -- Islamic Tourism Centre (ITC) digesa untuk mengambil langkah proaktif dalam membangunkan produk pelancongan mesra Muslim yang inovatif dan berdaya saing khususnya dalam usaha Malaysia memperdalam hubungan pelancongan dan kebudayaan dengan China.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing berkata Malaysia dan China mempunyai warisan Muslim yang kaya untuk dimanfaatkan bagi mempertingkatkan pertukaran kebudayaan dan kesenian antara kedua-dua negara.

Menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026, beliau berkata Malaysia menyasarkan untuk menggunakan peluang itu bagi memperkukuh kerjasama pelancongan strategik dengan China yang merupakan pasaran utama.

“ITC perlu terus mengguna pakai langkah proaktif untuk mempelbagaikan dan mengukuhkan produk pelancongan mesra Muslim dengan lebih banyak program yang mempromosikan pertukaran budaya dan seni Islam antara Malaysia dan China.

“Usaha untuk mempromosikan keindahan dan kepelbagaian budaya Malaysia patut meliputi pameran seni, festival makanan dan perayaan tradisional, mempamerkan landskap pelancongan negara yang meriah dan berwarna-warni,” katanya.

Tiong berkata demikian dalam ucapannya pada Makan Malam Tahunan Ulang Tahun ke-10 Persatuan Penggalakan Pelancongan Inbound Cina Malaysia (MICA) sempena Lawatan Suai Kenal Pertukaran Budaya Muslim China di sini hari ini.

Turut hadir timbalan beliau Khairul Firdaus Akbar Khan, Pemangku Ketua Pengarah ITC Nur Alyssa Coraline Yussin dan Presiden MICA Datuk Dr Angie Ng.

Sementara itu, Nur Alyssa berkata ITC akan terus memperkukuh ekosistem pelancongan mesra Muslim di negara ini bagi menarik lebih ramai pelancong antarabangsa beragama Islam melawat Malaysia.

Mengambil contoh kejayaan program Lawatan Pengantarabangsaan Pertukaran Budaya Muslim China yang memasuki tahun kedua itu, beliau berkata program tersebut menjadi jambatan dalam mengukuhkan pemahaman budaya, membuka peluang ekonomi dan mengeratkan ikatan tradisi antara kedua-dua negara.

“Selain kerjasama dengan MICA, kita turut memperluas jalinan kerjasama dengan beberapa pihak lain untuk meneroka lebih banyak peluang untuk menarik pelancong Muslim dari seluruh dunia,” katanya.

Menurut Nur Alyssa, program tahun ini mencatatkan peningkatan penyertaan dengan 77 wakil Muslim dari China mewakili 23 wilayah dengan tumpuan lawatan kepada budaya, pelancongan, pendidikan dan pertukaran pelaburan, melibatkan destinasi utama seperti Kuala Lumpur, Melaka, Negeri Sembilan, Putrajaya dan Selangor.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan