SHAH ALAM, 8 Feb (Bernama) -- Sebanyak 200 kanak-kanak yang diselamatkan daripada rumah amal dikaitkan dengan GISBH Holdings Sdn Bhd (GISBH) di Selangor, akan mengikuti pendidikan di sekolah kebangsaan buat kali pertama pada sesi persekolahan bermula 17 Feb ini.
Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi negeri Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata proses pendaftaran akan dibuat ibu bapa atau penjaga dengan bon jaminan dan dipantau Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) secara berkala setiap bulan, bagi memastikan kesemua syarat yang ditetapkan dipatuhi.
“Mereka ini boleh dikatakan bersedia untuk bersekolah selepas Kementerian Pendidikan membuat penilaian meliputi tahap pembelajaran diikuti penilaian akidah oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan juga Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS),” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyampaian sumbangan barangan persekolahan kepada 200 anak-anak GISBH, yang turut dihadiri Pengerusi MAIS Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof di sini hari ini.
Selain kit barangan persekolahan termasuk uniform sekolah rendah dan menengah, kanak-kanak berkenaan juga menerima bantuan kewangan RM400 setiap penerima menerusi inisiatif wang saku oleh pihak MAIS dan JAIS.
Mohammad Fahmi berkata bagi langkah berikutnya, kerajaan negeri akan membantu kira-kira 1,000 lagi kanak-kanak GISBH yang telah berdaftar dengan MAIS, untuk memasuki sistem persekolahan dalam menjamin masa depan lebih baik kepada mereka.
Dalam pada itu, Abdul Aziz berkata kesemua kanak-kanak termasuk ibu bapa dan penjaga akan terus dipantau selama dua tahun, meskipun program rehabilitasi ahli GISBH dikendalikan Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah tamat pada Selasa lepas.
Beliau berkata pihaknya sentiasa berhubung dengan Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM), MKN, JKM dan JAIS termasuk kerajaan negeri untuk memastikan kesemua bekas ahli GISBH menjalani dan mematuhi proses pemulihan akidah seperti dijadualkan.
“Dalam hal ini, kami amat berharap masyarakat dapat menerima mana-mana bekas ahli GISBH yang menjalani proses pemulihan terutamanya kanak-kanak agar mereka dapat menjalani kehidupan bersama masyarakat dengan lebih selesa,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial