GEORGE TOWN, 8 Feb (Bernama) -- Jabatan Perkhidmatan Veterinar Pulau Pinang (JPVPP) menyiasat laporan berhubung dakwaan penemuan 10 bangkai kucing yang dibungkus dalam plastik hitam di tempat pembuangan sampah di Jelutong, di sini.
Pengarah JPVPP Dr Saira Banu Mohamed Rejab berkata pihaknya telah ke lokasi kejadian namun tidak menemukan sebarang bangkai kucing seperti dilaporkan.
"Pihak polis merujuk kes itu kepada JPVPP pagi semalam (Jumaat) dan pihak kami terus ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan namun tiada bangkai kucing ditemukan di situ.
“Oleh itu, kami tidak boleh menjalankan bedah siasat untuk menentukan punca kematian namun siasatan lanjut sedang dijalankan," katanya ketika dihubungi hari ini.
Semalam, media melaporkan bahawa polis menerima laporan daripada lelaki tempatan berusia 49 tahun berhubung dakwaan penemuan bangkai kucing dalam plastik hitam di tempat pembuangan sampah di Jelutong dan disyaki dibunuh.
Terdahulu, tular satu video berdurasi 29 saat memaparkan seorang individu merakam video dipercayai lebih 10 ekor kucing dalam bungkusan plastik hitam yang dibuang ke dalam tong sampah besar di tepi jalan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial