WILAYAH - SARAWAK > BERITA

OPERASI KHAS TAHUN BAHARU CINA: JPJ KELUARKAN LEBIH 100,000 NOTIS KESALAHAN

10/02/2025 12:03 AM

KUALA LUMPUR, 9 Feb (Bernama) -- Sebanyak 107,014 notis telah dikeluarkan melibatkan pelbagai kesalahan terhadap kenderaan dan pemandu yang gagal mematuhi peraturan dalam Operasi Khas Tahun Baharu Cina 2025 yang dijalankan di seluruh negara, sejak 20 Jan lepas hingga hari ini. 

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Aedy Fadly Ramli berkata notis dikeluarkan hasil pemeriksaan terhadap 429,423 kenderaan dan daripada jumlah itu, sebanyak 724 kenderaan telah disita.

Beliau berkata sepanjang operasi berkenaan, lesen kenderaan motor (LKM) tamat tempoh atau tiada insurans kenderaan merekodkan kesalahan tertinggi iaitu 29,994 kes diikuti tiada atau tamat tempoh lesen memandu (20,414 kes). 

“Kesalahan teknikal juga berada pada kadar membimbangkan iaitu 15,610 kes dan antaranya berkaitan tayar dan brek kenderaan. Masalah tayar botak dan brek bukan hanya dikesan semasa operasi ini tetapi juga ketika operasi lain yang kita laksanakan.

“Oleh itu, pemilik kenderaan diingatkan untuk memeriksa dahulu kenderaan sebelum memulakan perjalanan sebab ini melibatkan nyawa orang lain juga,” katanya pada sidang media Majlis Penutup Operasi Khas Tahun Baharu Cina 2025 di Plaza Tol Sungai Besi, di sini hari ini.

Aedy Fadly bagaimanapun memaklumkan operasi khas kali ini menunjukkan pengurangan terhadap pengeluaran notis saman atas pelbagai kesalahan iaitu sebanyak 107,014 berbanding 207,127 notis pada tahun sebelumnya. 

“Pengurangan sebanyak 100,000 notis berbanding tahun lepas ini menunjukkan bahawa apa yang telah dilaksanakan oleh semua agensi penguatkuasaan dalam operasi Tahun Baharu Cina berjaya mencapai sasarannya dan peningkatan terhadap tahap persepsi ditangkap melakukan kesalahan (POBC) yang diuar-uarkan oleh pihak kami. 

“POBC yang dilaksanakan ini adalah usaha kita untuk mengurangkan kadar kemalangan dan kematian akibat kemalangan jalan raya melalui kaedah penguatkuasaan,” katanya. 

Beliau berkata sepanjang operasi sama dilaksanakan, larangan pemanduan ke atas kenderaan barangan juga telah dikuatkuasakan selama empat hari iaitu pada 27 dan 28 Jan (sebelum perayaan) serta 1 dan 2 Feb lepas (selepas perayaan).

“Namun, masih ada kenderaan barangan yang gagal mematuhi larangan tersebut dan berikutan itu notis serta penahanan kenderaan di bawah Seksyen 59 Akta Pengangkutan Jalan 1987 telah dikeluarkan terhadap 21  kenderaan selain 140 notis JPJ P22 berkaitan kesalahan di atas jalan,” katanya. 

Operasi Khas Tahun Baharu Cina 2025 turut disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM), Projek Lebuhraya Utara-Selatan Berhad (PLUS) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK). 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan