WILAYAH - SARAWAK > BERITA

BEKAS PENGERUSI MASJID DIDAKWA KEMUKA NAMA ASNAF YANG TIDAK LAYAK TERIMA ZAKAT

10/02/2025 12:20 PM

KUALA TERENGGANU, 10 Feb (Bernama) -- Bekas pengerusi sebuah masjid di Kerteh, Kemaman hari ini mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan memperdayakan seorang pegawai agama dengan mengemukakan senarai penama yang bukan berstatus miskin dan tidak layak menerima wang zakat wakalah.

Hamizan Amid, 56, didakwa melakukan perbuatan itu sehingga mendorong seorang pegawai agama badan kebajikan sebuah syarikat minyak menyerahkan sumbangan RM1,000 kepada setiap empat individu itu sedangkan mereka tidak layak mendapat bantuan.

Bagi setiap pertuduhan, juruteknik kebakaran di sebuah syarikat minyak itu berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 415 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 417 kanun sama yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun, atau dengan denda, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. 

Timbalan Pendakwa Raya Mariah Omar menawarkan jaminan RM15,000 untuk semua pertuduhan dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan agar tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah, melapor diri ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia pada setiap bulan dan tidak mengganggu saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Peguam Mohd Hisham Hashim yang mewakili lelaki itu memohon jaminan rendah iaitu RM8,000 bagi semua pertuduhan atas alasan anak guamnya tidak berisiko melarikan diri.

Hakim Mohd Azhar Othman membenarkan bapa kepada tiga orang anak itu diikat jamin RM8,000 beserta syarat tambahan yang dipohon pihak pendakwaan dan menetapkan 10 Mac ini untuk pengurusan kes bagi serahan dokumen.

-- BERNAMA

 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan