WILAYAH - UTARA > BERITA

'CHETTI PUSAM' MERIAH DI PULAU PINANG, RIBUAN PENGANUT BERARAK BERSAMA PEDATI EMAS, PERAK

10/02/2025 02:46 PM

GEORGE TOWN, 10 Feb (Bernama) -- Ribuan penganut agama Hindu dan pelancong dari dalam dan luar negara membanjiri sepanjang Lebuh Queen ke kuil di Jalan Kebun Bunga bagi menyertai perarakan pedati emas dan perak sempena sambutan Thaipusam, di sini hari ini.

Sambutan Thaipusam di Pulau Pinang unik kerana disambut sehari awal yang dikenali sebagai ‘Chetti Pusam’, iaitu perarakan oleh komuniti Chettiar di negeri itu dengan membawa kavadi burung merak bersama perarakan pedati perak yang membawa arca Dewa Murugan. 

Selain perarakan pedati perak, Thaipusam di Pulau Mutiara itu juga lebih meriah dengan penampilan pedati emas sejak 2017 yang membawa ‘vel’ (lembing), senjata suci Dewa Murugan.

Pedati emas bergerak bermula 6 pagi dari Lebuh Queen ke Kuil Sri Arulmigu Balathandayuthabani di Jalan Kebun Bunga disusuli pedati perak yang berusia 131 tahun kira-kira sejam kemudian, yang bergerak dari Kuil Nagarathar Kovil Veedu di Lebuh Penang ke Kuil Nattukottai Chettiar di Jalan Air Terjun.

Perarakan pedati yang diiringi alunan alat muzik tradisional India ‘Mridangam’ dan ‘Natheswaram’ dijangka sampai ke destinasi masing-masing sebelum tengah malam ini.

Tinjauan Bernama di sepanjang Jalan Magazine dan Jalan Datuk Keramat mendapati upacara itu berlangsung meriah dan kelihatan anggota polis berkawal di sekitar kawasan sambutan.

Sementara itu, ratusan ribu biji kelapa dilonggokkan di sepanjang jalan sejauh 10 kilometer itu sebelum dipecahkan ke tanah sebagai ritual keagamaan yang merupakan antara tarikan sambutan Thaipusam di negeri ini.

Seorang penganut K.Dharmeendran, 35, berkata keluarganya saban tahun sejak 2008 mengikuti perarakan pedati perak dan tradisi itu diteruskan tahun ini.

“Tahun ini lebih manis kerana isteri saya, S.Sivaneswary turut menyertai kami. Kami kahwin pada November tahun lepas,” katanya yang juga pekerja bank di Butterworth.

Bagi S.Sarrmetha, 19, yang membawa paal kudam (belangga susu) sejak berusia lima tahun, tahun ini lebih istimewa kerana dia mahu berdoa kesyukuran atas kesembuhan selepas dia dan ibunya V. Prabhawathy, 40, terlibat dalam kemalangan teruk pada Mei tahun lepas yang mengakibatkan mereka mengalami pelbagai kecederaan.

"Doktor maklumkan ibu saya mungkin tidak boleh berjalan selama lapan bulan, ajaibnya dia kembali berjalan dalam tempoh empat bulan sahaja jadi sempena Thaipusam kami datang bersama-sama untuk mengucapkan terima kasih kepada Dewa Murugan," kata penuntut perubatan universiti swasta itu. 

Bagi Andrea Henry, 35, dari German beliau berkata ini kali pertama beliau menyaksikan sambutan keagamaan seperti itu dan tertarik melihat pencangkuk dengan belanga susu kecil dicucuk pada badan penganut.

"Ia kelihatan menyakitkan pada saya tetapi para penganut mencucuk mereka dengan mudah dan tenang. Saya tidak pernah lihat sesuatu seperti ini sebelum ini, seperti pencangkuk pada belakang badan dan kesemua ritual, ini sangat indah," katanya. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Abdul Rozak Muhammad ketika dihubungi Bernama berkata perarakan kedua-dua pedati berjalan lancar dan setakat ini tiada sebarang kejadian yang tidak diingini.

"Saya sendiri turun ke lapangan bagi memantau perarakan itu dan setakat ini keadaan trafik agak perlahan tetapi masih dalam kawalan, pegawai dan anggota polis bertugas sepanjang 24 jam sambutan," katanya.

Thaipusam di Pulau Pinang juga terkenal dengan barisan lebih 100 gerai dikenali sebagai ‘Thaneer Panthal’ dihias indah selain mengedarkan makanan vegetarian dan minuman secara percuma kepada penganut.

Penganut Hindu akan menyambut Thaipusam esok bagi memperingati peristiwa Dewa Murugan menerima lembing suci daripada ibunya Dewi Parvati bagi menghapuskan kuasa jahat Soorapadman dan mengembalikan kemakmuran serta kesejahteraan manusia.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan