WILAYAH - SARAWAK > BERITA

AZALINA, TPM KEMBOJA BINCANG KERJASAMA UNDANG-UNDANG DUA HALA 

10/02/2025 09:54 PM

KUALA LUMPUR, 10 Feb (Bernama) -- Pengukuhan kerjasama undang-undang dua hala Malaysia-Kemboja antara perkara dibincangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said pada lawatan kerja ke Kemboja hari ini.

Azalina berkata pada pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Keadilan Kemboja Koeut Rith, beliau turut menegaskan semula komitmen Malaysia untuk memperkasakan timbang tara komersial antarabangsa dan mediasi di seluruh ASEAN.

"Dengan pertumbuhan pesat ekonomi serantau yang terus dinikmati negara-negara anggota, rangka kerja penyelesaian pertikaian yang kukuh dan holistik adalah amat penting untuk meningkatkan keyakinan perniagaan dan juga pelaburan," katanya menerusi hantaran Facebook hari ini.

Pada pertemuan di Phnom Penh itu, Azalina turut menyampaikan jemputan rasmi kepada Rith untuk menghadiri Forum Undang-Undang ASEAN 2025 yang dijadualkan pada Ogos ini di ibu negara. 

Forum yang bakal menghimpunkan pakar undang-undang dan pihak berkepentingan dari seluruh Asia Tenggara itu akan diakhiri dengan satu pengesahan kenyataan bersama oleh menteri-menteri undang-Undang ASEAN bagi menegaskan semula komitmen mereka terhadap matlamat bersama itu. 

Azalina berkata beliau turut menggunakan kesempatan lawatan itu untuk memberi makluman dan penerangan kepada Rith berhubung penganjuran Konvensyen ASEAN 2025 mengenai Bantuan Guaman untuk Kanak-kanak.

Beliau berkata inisiatif itu bertujuan mengukuhkan perkhidmatan bantuan guaman khusus untuk kanak-kanak di seluruh ASEAN memandangkan beliau dan Rith berkongsi pendirian tegas berhubung pemerkasaan hak dan kesejahteraan golongan itu. 

Konvensyen anjuran Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri itu akan diadakan pada Jun ini.

"Saya ingin menyampaikan setinggi-tinggi penghargaan kepada beliau dan pegawai Kementerian Keadilan Kemboja atas layanan baik dan kesudian menerima delegasi Malaysia yang mencerminkan semangat kesatuan dalam kalangan negara ASEAN," kata Azalina.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan