WILAYAH - TIMUR > BERITA

PGA RAMPAS KAYU BALAK BERNILAI LEBIH RM2 JUTA

12/02/2025 03:45 PM

KOTA BHARU, 12 Feb (Bernama) -- Seorang pemilik kilang kayu ditahan dan 749 kayu balak serta pelbagai jenis mesin dianggarkan bernilai RM2.28 juta dirampas dalam serbuan di sebuah kilang kayu yang disyaki beroperasi secara haram di Kampung Sebidang, Tumpat, semalam.

Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata serbuan pada 9 pagi itu dilakukan oleh sepasukan anggota PGA menerusi Op Taring Wawasan Kelantan.

Beliau berkata hasil pemeriksaan mendapati kilang itu telah beroperasi tanpa lesen yang sah dari Jabatan Perhutanan Kelantan. 

“Sebanyak 749 kayu yang telah dipotong, sembilan kayu bulat pelbagai saiz dan beberapa mesin memproses kayu ditemui dalam kilang tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nik Ros Azhan berkata suspek warga tempatan berusia 52 tahun itu dipercayai menjual kayu tersebut ke pasaran tempatan. 

Beliau berkata suspek dan barang rampasan masing-masing dibawa ke Balai Polis Pengkalan Kubor dan Jabatan Perhutanan negeri untuk tindakan selanjutnya manakala kes disiasat di bawah Seksyen 3(2) Enakmen Industri Berasaskan Kayu 1985. 

Sementara itu, PGA turut menumpaskan kegiatan penyeludupan minuman keras di Kampung Mentua, Pengkalan Kubor, semalam selepas anggota bertugas telah melihat sebuah lori dipandu dalam keadaan mencurigakan pada 11 malam.

Nik Ros Azhan berkata menyedari kehadiran pihak polis, pemandu lori bertindak melarikan diri dan meninggalkan kenderaannya.

“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat lebih 15 tong arak dan bungkusan minuman beralkohol pelbagai jenama ditemui di dalam kenderaan suspek yang disyaki untuk dijual ke pasaran tempatan.

“Anggaran nilai rampasan RM52,950 dan telah dibawa ke Komtak PGA Pengkalan Kubor serta Jabatan Kastam untuk tindakan selanjutnya. Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan