KUALA LUMPUR, 13 Feb (Bernama) -- Kerajaan bakal memperkenalkan Kerangka Insentif Pelaburan Baharu (NIIF) yang akan dilaksanakan mulai suku ketiga 2025, kata Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Liew Chin Tong.
Beliau berkata NIIF merupakan penambahbaikan yang memberi tumpuan kepada aktiviti bernilai tinggi dan kesan limpahan ekonomi bagi cadangan pelaburan yang dikemukakan, berbanding amalan atau mekanisme sedia ada yang menawarkan insentif pelaburan berteraskan produk atau aktiviti tertentu.
"Dalam usaha meningkatkan kemasukan pelaburan asing, Kerajaan MADANI memberi fokus dalam membuat anjakan paradigma yang tidak lagi tertumpu kepada konsep “made in Malaysia” (buatan Malaysia), tetapi lebih mementingkan paradigma baharu iaitu “made by Malaysia” (dikeluarkan oleh Malaysia).
"Dari perspektif MITI, usaha ini turut tertumpu kepada aspirasi untuk membangunkan “local champion” (Jaguh tempatan)," katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang) yang bertanya mengenai langkah tambahan yang akan diambil untuk memastikan pelaburan asing terus meningkat pada 2025.
Menurut Liew, kerajaan akan turut memanfaatkan peranan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN pada tahun ini untuk memperkukuh kerjasama ekonomi serantau dengan memastikan ASEAN terus menjadi platform yang berimpak tinggi.
Selain itu, MITI akan mempromosi ekosistem pelaburan Malaysia sebagai destinasi pelaburan terpilih di rantau ini, yang sekali gus menggalakkan pelaburan asing, termasuk memperkukuh ekosistem rantaian bekalan dari kalangan negara anggota ASEAN, katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial