KUALA LUMPUR, 14 Feb (Bernama) -- Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) menyediakan laman mikro khas fotoBERNAMA sebagai pusat sehenti mempamerkan foto-foto terbaik yang dihasilkan jurufoto agensi berita itu.
Editor Foto Bernama Mohamad Bakri Darus berkata laman mikro itu yang boleh diakses menerusi pautan foto.bernama.com, membolehkan pengguna menyemak dan memilih sebelum memuat turun foto dengan mudah.
“Laman mikro khas ini akan memberikan pengalaman lebih baik kepada pelanggan, agensi kerajaan dan mana-mana pihak berkepentingan lain,” katanya sempena pelancaran laman mikro fotoBERNAMA hari ini.
Beliau berkata laman mikro khas itu akan menjadi elemen pelengkap yang strategik kepada laman Bernama.com, menjadikannya lebih menarik dengan kandungan visual eksklusif.
“Laman mikro ini akan menjadi medium menonjolkan kualiti, kreativiti dan profesionalisme Bernama dalam kewartawanan visual, sambil menyediakan peluang baharu untuk memanfaatkan teknologi digital dalam menyampaikan kandungan berkualiti tinggi kepada pelanggan dan masyarakat umum,” katanya.
Mohamad Bakri berkata laman mikro khas itu juga akan memaparkan foto terpilih daripada simpanan arkib Bernama iaitu koleksi khazanah foto berbentuk filem sejak 1980 hingga 2005.
“Terdapat 3.4 juta gambar lama melibatkan acara rasmi kerajaan, peristiwa penting selain fotografi kehidupan manusia dan alam sekitar. Unit Pendigitalan Foto Bernama sedang mendigitalkan gambar-gambar tersebut bagi memastikan khazanah negara itu kekal selama-lamanya," katanya.
Individu atau syarikat yang berminat mendapatkan foto-foto lama boleh menghubungi Bahagian Perkhidmatan Langganan, Jabatan Komersial Bernama, melalui e-mel dan talian telefon Fariz Rizal Madzri (fariz@bernama.com 03-26311217), Izzul Zunnurain Darusamin (izzul@bernama.com 03-26311394) dan Norsuhaida Sabtu (nsue@bernama.com 03-26311503).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial