WILAYAH - TENGAH > BERITA

BAMTC 2025: PENGAJARAN BERGUNA BUAT PEMAIN MALAYSIA - REXY

14/02/2025 02:19 PM

KUALA LUMPUR, 14 Feb (Bernama) -- Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM) Rexy Mainaky menegaskan penyingkiran skuad negara pada Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia (BAMTC) 2025 di Qingdao, China bukanlah satu kegagalan.

Rexy sebaliknya berkata ia adalah pengajaran berharga buat pemain sandaran dalam usaha membina kematangan di pentas antarabangsa.

Meskipun kecewa dengan kekalahan dalam kedua-dua perlawanan di peringkat kumpulan, Rexy percaya masih banyak perkara positif yang boleh dipelajari khususnya dalam aspek tanggungjawab dan daya saing pada kejohanan berpasukan.

“Walaupun skuad ini terdiri daripada gabungan pemain senior dan junior, ia tidak bermakna kami tiada impian untuk melangkah lebih jauh atau muncul juara. Namun, masih ada segelintir pemain yang belum memberikan usaha terbaik mereka.

“Dari sudut keputusan, sudah tentu kami kecewa, tetapi jika pemain tidak diberi peluang untuk beraksi pada kejohanan besar seperti ini, bila lagi mereka akan memperoleh pengalaman? Tambahan pula, Hong Kong menurunkan barisan terbaik mereka,” katanya ketika ditemui di ABM, Bukit Kiara di sini.

Malaysia tersingkir di peringkat kumpulan selepas menamatkan saingan di kedudukan ketiga Kumpulan B susulan dua kekalahan tipis 2-3 kepada Indonesia dan Hong Kong.

Rexy bagaimanapun tidak menolak kemungkinan Malaysia mampu melangkah ke suku akhir sekiranya beregu campuran berjaya menamatkan perlawanan dengan kemenangan ketika menentang kedua-dua pasukan itu.

Mengulas keputusan untuk tidak menurunkan pemain senior seperti pasangan beregu lelaki utama Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Rexy berkata BAM mengambil pendekatan jangka panjang dengan memberi peluang kepada pemain pelapis untuk merasai tekanan pada kejohanan berpasukan.

“Jika matlamat utama kami hanya untuk menjuarai BAMTC, sudah tentu kami akan menghantar barisan terkuat.

“Kami mahu lebih ramai pemain merasai pengalaman pada kejohanan berpasukan. Dalam situasi seperti ini, tanggungjawab bukan hanya terletak kepada pemain utama, tetapi juga mereka yang lebih berpengalaman seperti Goh Soon Huat-Shevon Lai,” katanya.

Pencapaian Malaysia di BAMTC 2025 adalah terburuk sejak tiga edisi lepas, setelah sering meloloskan diri ke suku akhir sejak 2017. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan