WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PERTUMBUHAN KDNK 5.1 PERATUS PADA 2024 CERMIN KESUNGGUHAN KERAJAAN MADANI PACU EKONOMI 

14/02/2025 08:21 PM

KUALA LUMPUR, 14 Feb (Bernama) -- Pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia yang melonjak kepada 5.1 peratus pada 2024, melebihi unjuran awal kerajaan sebanyak empat hingga lima peratus, mencerminkan keyakinan dan kesungguhan Kerajaan MADANI untuk mengubah ekonomi Malaysia.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan hari ini berkata pencapaian ini dipacu oleh dasar yang jelas dan progresif yang diperkenalkan sejak 2023 di bawah kerangka Ekonomi MADANI serta disokong oleh kestabilan politik.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kenyataan itu berkata berkata kejayaan ini dicapai melalui usaha bersepadu Kerajaan MADANI dan industri.

“Menjelang 2025, Kerajaan MADANI kekal komited sepenuhnya bagi memperkukuh agenda pembaharuan ekonomi dan institusi untuk melonjakkan negara ke tahap yang lebih tinggi," katanya.

Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini mengumumkan ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 5.1 peratus pada 2024 daripada 3.6 peratus pada 2023.

Menurut MOF, Kerajaan MADANI juga mengatasi sasaran defisit fiskal bagi 2024 iaitu 4.1 peratus berbanding sasaran 4.3 peratus.

“Pertumbuhan ekonomi pada 2024 didorong oleh prestasi memberangsangkan dalam penggunaan swasta, yang meningkat 5.1 peratus daripada 4.7 peratus pada 2023; pelaburan meningkat 12 peratus (2023: 5.5 peratus); jumlah dagangan meningkat sebanyak 9.2 peratus kepada RM2.88 trilion; dan aliran masuk pelaburan langsung asing bersih RM47.4 bilion (2023: RM40.4 bilion),” katanya.

Penunjuk sokongan lain yang menyumbang kepada pertumbuhan KDNK 2024 termasuk inflasi menyederhana kepada 1.8 peratus (2023: 2.5 peratus); dan kadar pengangguran yang rendah pada 3.3 peratus (2023: 3.4 peratus) dengan trend menurun kepada 3.1 peratus pada Disember 2024, terendah dalam tempoh 10 tahun.

Kerajaan MADANI telah mengunjurkan ekonomi berkembang antara 4.5 peratus hingga 5.5 peratus bagi  2025, didorong oleh limpahan yang lebih besar daripada kitaran menaik teknologi, pelaksanaan yang lebih pantas bagi projek infrastruktur kritikal dan pemangkin serta aktiviti pelancongan yang lebih rancak.

“Di bawah Belanjawan 2025, syarikat pelaburan berkaitan kerajaan secara kolektif telah bertekad untuk melabur RM25 bilion dalam pelaburan langsung domestik untuk tahun pertama daripada lima tahun pelaksanaan Program Pengaktifan dan Reformasi Badan Berkaitan Kerajaan (GEAR-uP).

“Selain itu, perbelanjaan pengguna yang lebih tinggi berikutan kenaikan gaji minimum dan gaji penjawat awam dijangka terus merangsang pertumbuhan ekonomi, ” kata MOF.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan