WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PROJEK PRR HARMONI MADANI DIJANGKA SIAP MENJELANG SUKU PERTAMA 2027

15/02/2025 04:12 PM

KUALA SELANGOR, 15 Feb (Bernama) -- Projek Program Residensi Rakyat (PRR) Harmoni MADANI Bestari Jaya di sini dijangka siap dibina menjelang suku pertama 2027.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata beliau telah menerima laporan terkini berhubung projek tersebut yang dijangka siap dalam tempoh berkenaan.

“Saya harap kita dapat merayakan (sambutan) Deepavali 2027 di dalam rumah baharu. Projek ini  merangkumi pelbagai kemudahan asas termasuk taman komuniti, trek joging, surau dan juga tadika untuk penduduk di sini.

“Ini mencerminkan komitmen Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang sentiasa cakna untuk menjaga kesejahteraan rakyat dibawah kepimpinan Yang Amat Berhormat (Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim). Perumahan adalah hak asasi manusia yang merupakan satu keperluan,” katanya.

Beliau berkata dalam ucapan aluan sempena Majlis Pecah Tanah Projek PRR Harmoni MADANI Bestari Jaya yang dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.   

Turut hadir Pengasas Berjaya Corporation Berhad Tan Sri Vincent Tan.

Nga berkata projek itu merupakan kerjasama antara kerajaan Persekutuan, kerajaan Selangor, Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) dan Berjaya Corporation Berhad dengan kos pembangunan keseluruhan berjumlah RM75 juta iaitu RM40 juta dari kerajaan Persekutuan.

“Manakala kerajaan Selangor memperuntukkan sejumlah RM35 juta untuk kos pembangunan dengan tapak tanah berkeluasan 8.09 hektar (20 ekar) diberikan secara percuma oleh Berjaya Corporation Berhad. 

“Pembinaan PRR ini bukti keprihatinan kerajaan MADANI khususnya dalam membantu pekerja-pekerja lima ladang estet iaitu Ladang Mary, Ladang Nigel Garder, Ladang Bukit Tagar, Ladang Sungai Tinggi dan Ladang Minyak untuk memiliki kediaman sendiri.

Nga berkata dianggarkan RM300,000 kos seunit PRR itu yang akan dijual pada harga RM45,000 manakala keseluruhan subsidi ditanggung kerajaan adalah dianggarkan RM58.8 juta.

Dalam pada itu, seorang penerima Amnah Mat Asin, 64, berkata dengan pecah tanah projek itu hari ini, ia menamatkan penantian lebih 30 tahunnya untuk memiliki rumah sendiri.

“Seronok akhirnya dapat rumah sendiri kerana ketika ini saya sekeluarga menyewa di Kuala Kubu Baharu selepas dapat notis pengusiran daripada pengurusan estet terdahulu. Harap saya dipanjangkan umur untuk dapat tinggal di rumah sendiri pada 2027 selepas ia siap kelak,” katanya ketika ditemui pemberita.

Sementara itu, bagi pekerja Ladang Minyak, S Rajeena, 58, berkata penerimaan kediaman itu diibaratkan hadiah ulang tahun perkahwinannya ke-40 dengan mereka akan memiliki rumah sendiri yang selesa.

“Pembinaan kediaman itu juga menamatkan penantian tiga keturunan bermula daripada datuk saya sejak 1998,” katanya.

Sebelum ini, Exco Perumahan dan Kebudayaan Selangor Datuk Borhan Aman Shah ketika Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum ini berkata kerja-kerja pembinaan bagi PRR itu dijangka dilaksanakan awal tahun hadapan dengan tempoh siap selama dua tahun.

Borhan berkata status pembinaan 245 unit rumah itu telah mendapat kelulusan kebenaran merancang daripada Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) pada 28 Okt 2024, tertakluk kepada syarat-syarat perlu dipatuhi oleh PR1MA selaku agensi pelaksana dengan proses kelulusan pelan bangunan akan dikemukakan permohonan oleh mereka kelak.

Nga pada 3 Mei 2024 dilaporkan berkata masalah perumahan yang membelenggu 245 keluarga melibatkan lima ladang di Bestari Jaya sejak berdekad lepas bakal diselesaikan dalam masa terdekat susulan kerajaan akan mengumumkan berita baik berhubung pekerja ladang itu yang diusir tanpa rumah untuk didiami.

Sementara itu, Anwar menerusi hantaran di Facebook berkata isu pendidikan, kesihatan dan perumahan masih menjadi agenda penting kerajaan MADANI demi kesejahteraan rakyat.

Beliau berkata kerajaan tidak berlapang dada dan berada dalam zon selesa, sebaliknya usaha membantu pihak dan golongan memerlukan tanpa mengira latar belakang kaum dan agama, perlu terus dilakukan dan dilipatgandakan.

“Program hari ini adalah contoh bahawa nasib rakyat yang memerlukan, seperti pekerja estet tetap menjadi jadual penting kerajaan bagi menaik taraf kehidupan mereka ke tahap lebih baik dan selesa lagi.

“Justeru, saya percaya prakarsa (inisiatif) ini boleh diperluaskan lagi dan menjadi contoh kepada projek perumahan lain dalam mengangkat serta menjulang kebajikan rakyat negara ini,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan