GEORGE TOWN, 16 Feb (Bernama) -- Polis menjelaskan tiada sebarang pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) sepanjang penahanan reman seorang pelancong British berkaitan kes khianat kerana merosakkan palang parkir di Batu Feringghi baru-baru ini.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Hamzah Ahmad berkata lelaki berusia 47 tahun itu ditempatkan di Lokap Berpusat Bayan Baru dekat sini, dan semua tahanan sentiasa dikawal selia rapi oleh anggota bertugas di lokap.
"Pada 8 Dis lepas, seorang juruteknik parking membuat laporan polis selepas seorang lelaki merosakkan palang parkir di Batu Ferringhi dan suspek telah mematahkan palang itu menggunakan tangannya setelah tidak dapat keluar daripada lokasi itu serta terdapat kamera litar tertutup yang merakamkan insiden berkenaan.
"Ekoran kejadian itu, pada 3 petang 9 Dis lepas, polis menahan suspek yang merupakan warga British dan dia kemudiannya direman selama empat hari sebelum didakwa di Mahkamah Majistret George Town pada 12 Dis di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Media antarabangsa (Wales Online) pada 11 Feb lepas melaporkan warga British Ahmed Hadi mendakwa dia terperangkap di Malaysia apabila mahkamah merampas pasportnya selepas didakwa merosakkan penghadang tempat letak kereta di Batu Ferringhi, Pulau Pinang, Disember lepas.
Dia juga mendakwa lapan minggu selepas insiden itu, mahkamah masih menahan pasportnya, yang disita sebagai sebahagian daripada syarat jaminan sehingga menyebabkan dia berada dalam dilema.
Artikel itu memetik Ahmed mendakwa Malaysia sebagai ‘hell hole with no human rights’ dan keadaan sangat teruk di dalam sel tahanan dengan 50 orang berkongsi satu tandas.
Mengulas lanjut, Hamzah berkata pelancong British itu dibenarkan diikat jamin RM12,000 bersama tiga penjamin warga tempatan dan pasport diserahkan kepada mahkamah sebelum kes ditangguhkan pada 22 Jan untuk serahan dokumen.
Beliau berkata hasil sebutan kes pada 22 Jan, ia sekali lagi ditangguhkan pada 13 Feb untuk sebutan semula kes sebelum pengadu menarik semula laporan polis kerana lelaki itu membayar ganti rugi RM1,000 dan kesnya diklasifikasikan sebagai lepas tanpa dibebaskan (DNAA).
"Semasa pertuduhan, arahan mahkamah agar pasport diserahkan kepada pihak mahkamah sehingga kes selesai dan pada 13 Feb, kes telah di DNAA serta pasport diserahkan semula kepada suspek. Pasport adalah di bawah kawalan pihak mahkamah dan tidak melibatkan pihak polis," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial