KUALA LUMPUR, 17 Feb (Bernama) -- Mahkamah Tinggi Keadilan Madrid telah mengekalkan keputusannya pada 2021 untuk membatalkan pelantikan kehakiman Gonzalo Stampa sebagai penimbang tara dalam kes Sulu selepas menolak percubaan pihak tuntutan kumpulan Sulu untuk membatalkannya.
Dalam satu kenyataan, Sekretariat Khas Kerajaan bagi kes tuntutan Sulu menyatakan bahawa susulan keputusan mahkamah bertarikh 11 Feb 2025, pihak tuntutan kumpulan Sulu turut diperintahkan membayar kos kepada kerajaan Malaysia.
"Keputusan ini mengesahkan permohonan pembatalan oleh pihak tuntutan Sulu ‘tidak mempunyai ketelitian dan konsistensi pembuktian yang minimum’, kerana ia berdasarkan pendapat dan spekulasi daripada satu artikel akhbar, bukan bukti sebenar.
"Mahkamah Tinggi Keadilan Madrid juga secara jelas menyatakan majistret-majistret tidak pernah ditekan atau membiarkan diri mereka dipengaruhi dalam apa cara sekalipun," menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu turut menyebut bahawa keputusan untuk membatalkan pelantikan kehakiman Stampa sebagai penimbang tara dibuat semata-mata atas alasan undang-undang dalam keputusan bertarikh 29 Jun 2021, yang bersifat muktamad dan mengikat sejak ia dikeluarkan.
Malaysia menyambut baik keputusan mahkamah Sepanyol itu yang membuktikan dasar kerajaan untuk mempertahankan Malaysia dengan tegas di setiap mahkamah dan forum, menggunakan segala kuasa, hak dan sumbernya bagi memastikanpenamatan Penipuan Sulu serta melindungi kepentingan Malaysia, kekebalan kedaulatan dan kedaulatan negara.
Menurut kenyataan itu, Mahkamah Tinggi Keadilan Madrid telah mengeluarkan keputusan muktamad dan mengikat pada 29 Jun 2021, selaras dengan undang-undang kesnya, yang memutuskan Malaysia sebagai sebuah negara asing telah dipanggil secara tidak wajar dalam prosiding pelantikan penimbang tara.
Oleh itu, mahkamah membatalkan pelantikan kehakiman Stampa sebagai penimbang tara serta semua tindakan prosedurnya dalam apa yang dikenali sebagai kes Sulu dan memerintahkan supaya Malaysia dipanggil dengan sewajarnya dan prosiding pelantikan penimbang tara baharu dimulakan semula.
Pembatalan pelantikan itu kemudiannya disahkan oleh mahkamah Sepanyol selepas rayuan perlembagaan yang gagal oleh pihak kumpulan tuntutan Sulu.
Pada Disember 2023, pihak kumpulan tuntutan Sulu telah mengemukakan permohonan kepada Mahkamah Tinggi Keadilan Madrid dalam usaha untuk membatalkan keputusan mahkamah pada 29 Jun yang membatalkan pelantikan Stampa, semata-mata berdasarkan satu artikel akhbar yang mendakwa Kementerian Luar Sepanyol telah mengenakan tekanan politik ke atas mahkamah kerana kepentingan ekonomi Sepanyol dengan Malaysia.
Malaysia dengan sewajarnya menentang permohonan pembatalan itu kerana tuntutan kumpulan Sulu itu sama sekali tidak berasas.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial