WILAYAH - TIMUR > BERITA

PAHANG SALUR INSENTIF HAMPIR RM300,000 KEPADA ATLET PARA SUKMA SARAWAK 2024

18/02/2025 06:09 PM

KUANTAN, 18 Feb (Bernama) -- Kerajaan Pahang hari ini menyalurkan insentif hampir RM300,000 kepada atlet yang berjaya membawa pulang pingat pada temasya Sukan Para Malaysia (Para SUKMA) Sarawak 2024 sebagai menghargai usaha, kerja keras dan semangat juang mengharumkan negeri. 

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata pemberian insentif itu adalah hasil kejayaan luar biasa atlet apabila pencapaian kali ini melebihi sasaran ditetapkan dengan merangkul 15 pingat emas, lima perak dan sembilan gangsa.

“(Dengan kejayaan ini) Pahang menduduki tangga ketujuh secara keseluruhan daripada 15 pasukan bertanding. Kedudukan ini lebih baik jika dibandingkan Para SUKMA di Kuala Lumpur pada 2022, dengan mencatatkan sembilan emas, enam perak dan empat gangsa serta menduduki tangga ke-12. 

“Saya percaya kejayaan ini adalah hasil usaha gigih, semangat juang atlet serta sokongan padu pelbagai pihak bersama-sama merealisasikan pencapaian membanggakan ini,” katanya berucap pada Majlis Penghargaan dan Penyampaian Insentif Kontinjen Pahang ke Kejohanan Para SUKMA Sarawak 2024 serta Anugerah NGO Sukan Massa Pahang 2024 di sini hari ini. 

Beliau berkata atlet meraih emas menerima insentif RM6,000, perak (RM3,000) manakala gangsa (RM2,000).

Wan Rosdy berkata kerajaan Pahang sentiasa komited terhadap kemajuan dan peningkatan prestasi atlet sama ada dalam kejohanan berprestasi tinggi mahupun sukan massa dengan meningkatkan peruntukan saban tahun. 

“Kerajaan negeri telah menyalurkan dana melalui Jabatan Belia dan Sukan Pahang sebanyak RM860,000 pada 2023 dan meningkat kepada RM968,368 (2024). Untuk Para SUKMA Sarawak 2024, peruntukan RM216,198 disalurkan bagi menghantar kontinjen ke temasya itu manakala RM252,170 diperuntuk bagi majlis hari ini.

“Hal ini menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan khusus bagi kontinjen Para SUKMA Sarawak mencecah RM468,368. (Justeru) saya berharap dan berdoa agar kejayaan lebih manis dapat dicapai pada Para SUKMA Selangor 2026,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan