WILAYAH - SARAWAK > BERITA

TERENGGANU BAKAL MILIKI INDUSTRI PEMBINAAN PESAWAT RINGAN

19/02/2025 04:24 PM

KUALA TERENGGANU, 19 Feb (Bernama) -- Industri pembinaan pesawat ringan bakal bertapak di Terengganu apabila memorandum persefahaman (MoU) mengenai perkara ini dijangka dimeterai dalam masa terdekat. 

Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata ketika ini perkara itu masih dalam perbincangan dengan syarikat Putra Aerospace Industries (PAI) dan pihaknya telah memberikan persetujuan awal untuk meneliti lanjut projek berkenaan.

“Ia dahulunya pernah dicadangkan di tempat lain iaitu sebelum COVID-19 melanda. Tapi, sebab masalah-masalah yang timbul saya cadangkan untuk dibina di Terengganu.

“Perbincangan telah dibuat kira-kira empat kali dan cuma tunggu kebenaran kerajaan negeri untuk penggunaan tanah … dan kita seperti sebelum ini tiada halangan, tidak perlu buat syarat tukar tanah dan sebagainya. Jadi, itu akan mempercepat prosesnya,” katanya selepas Majlis Pelancaran Pelan Strategik Pertanian Terengganu 2024-2030 di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Turut berkenan berangkat hadir pada majlis itu ialah Yang Dipertuan Muda Terengganu Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Terengganu Dr. Azman Ibrahim.

Terdahulu, menerusi perkongsian di Facebook, Ahmad Samsuri telah menerima kunjungan delegasi PAI yang menyuarakan hasrat membina pesawat ringan di negeri itu membabitkan tiga fasa di kawasan seluas lebih 20 hektar di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Nerus.

Beliau berkata pihaknya sedang mempertimbangkan untuk mempunyai ekuiti dalam projek itu bagi membolehkan penglibatan bersama kerajaan negeri.

“… dan institusi pendidikan seperti Kolej Universiti TATI dan Kolej Pusat Pembangunan Kemahiran Negeri Terengganu (TESDEC) boleh memainkan peranan mereka untuk melatih anak-anak tempatan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan