KUALA LUMPUR, 19 Feb (Bernama) -- Malaysia sedang berusaha untuk mengadakan Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Amerika Syarikat (AS) sama ada di Malaysia atau AS, kata Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.
Beliau berkata perkara itu telah dipersetujui pada peringkat Menteri-Menteri Luar ASEAN bagi memastikan ASEAN tidak dilihat condong ke mana-mana negara.
“Kita cuba mengimbangkan supaya tak condong kepada mana-mana kerana kita sudah ada Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC)-China … jadi, ASEAN akan terus memacu hala tuju sebagai ASEAN yang bersepadu dan terus berkecuali serta tidak memihak mana-mana.
“Pada (sidang kemuncak khas) itu nanti kita nyatakan wish list kita dan kita dengar wish list mereka (AS) kerana berurusan dengan orang seperti ini (Presiden AS Donald Trump), beliau nak dengar apa kita ada,” katanya ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi kementerian itu pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Mohamad berkata Malaysia bukan sahaja harus berhati-hati mengurus dasar luar dan hubungan dua hala, tetapi juga perlu berwaspada dalam menguruskan hubungan perdagangan agar ekonomi negara tidak terjejas.
Justeru, beliau berkata Malaysia tidak boleh menidakkan hubungan baik dengan AS selama ini yang merupakan pelabur terbesar di negara ini secara kumulatif.
“Perkara ini sedang dilakukan Kementerian Luar untuk uruskan secara teratur kerana jumlah dagangan Malaysia-AS adalah sebanyak RM324 bilion untuk 2024 dan ia merupakan jumlah dagangan amat besar.
“Dari segi siapa dapat keuntungan daripada RM324 bilion itu, Malaysia eksport RM198 bilion kepada AS dan kita import RM126 bilion, jadi lebihan dagangan RM70 bilion berpihak kepada kita,” katanya.
Bagaimanapun, Mohamad berkata teras dasar luar negara ialah berprinsip dengan Malaysia tidak akan menyokong, sebaliknya mengutuk negara yang mengamalkan dasar aparteid, dasar yang melakukan genosid dan jenayah terhadap kemanusiaan.
Persidangan Dewan Rakyat bersambung esok.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial