WILAYAH - SARAWAK > BERITA

ORANG RAMAI TIDAK LEPASKAN PELUANG NIKMATI PRODUK PELANCONGAN PERCUMA DI MELAKA

20/02/2025 05:47 PM

MELAKA,  20 Feb (Bernama) -- Orang ramai tidak melepaskan peluang mengunjungi 13 lokasi pelancongan yang dibuka secara percuma di negeri ini hari ini sempena cuti umum Hari Pengisytiharan Kemerdekaan Tanah Melayu dengan lebih 37,000 pelawat direkodkan setakat 2 petang tadi.

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata inisiatif itu yang memasuki tahun kedua menyaksikan kemasukan pengunjung ke setiap lokasi lebih sistematik dan lancar. 

"Tinjauan yang saya lakukan di beberapa tempat.. kemasukan pengunjung lebih teratur biarpun ramai yang hadir, ini susulan penambahbaikan yang dilakukan.

"Kita juga dapati pengunjung pada tahun ini majoritinya adalah rakyat Melaka memandangkan cuti umum pada hari ini adalah untuk negeri ini sahaja," katanya kepada pemberita di Jeti Taman Rempah di sini hari ini.

Hadir sama, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Abdul Razak Abdul Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) Shaharul Azuar Idris.

Ab Rauf berkata pihaknya menyasarkan peluang menikmati produk pelancongan secara percuma berakhir 5 petang ini dapat dimanfaatkan sehingga 70,000 pengunjung, yang merupakan ‘hadiah’ kerajaan negeri kepada rakyat Melaka.

"Inilah masanya untuk mereka menggunakan kesempatan beriadah bersama keluarga tercinta dengan menikmati kemudahan dan tempat menarik di negeri ini," katanya.

Sementara itu, seorang pengunjung Mohd Zulazreen Mohd Nasir, 37, dari Cheng berkata peluang ini dimanfaatkan dengan membawa ibu dan dua anaknya sejak awal pagi untuk berkunjung ke beberapa lokasi.

Beliau yang bekerja sebagai jurutera berkata antara produk pelancongan yang dilawati mereka adalah Muzium Penjara di Banda Hilir dan Melaka River Cruise di Jeti Taman Rempah.

"Tahun ini penganjurannya lebih baik dan berjalan lancar, selain jalan raya juga tidak terlalu sesak dan tempoh menunggu giliran juga tidak mengambil masa yang lama," katanya.

Suri rumah Nor Afikah Mohd Zin, 34, dari Banda Hilir berkata pada tahun ini beliau membawa tiga anaknya bersiar-siar di lokasi yang berdekatan dengan rumahnya seperti Melaka River Cruise dan Menara Taming Sari.

"Terima kasih kepada kerajaan negeri yang memberikan peluang kepada rakyat di negeri ini untuk masuk ke tempat pelancongan secara percuma," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan