WILAYAH - SARAWAK > BERITA

RISDA KOMITED PERKASA PENGUASAAN KEMAHIRAN DIGITAL USAHAWAN BIMBINGAN

22/02/2025 03:14 PM

KUANTAN, 22 Feb (Bernama) -- Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) komited memperkasakan sosioekonomi usahawan di bawah bimbingannya melalui penguasaan kemahiran digital supaya mereka lebih berdaya saing dan bersedia menghadapi perniagaan yang kompetitif.

Pengerusi RISDA Manndzri Nasib berkata kemahiran digital itu menjadi antara fokus utama RISDA bagi memastikan usahawan dalam kalangan pekebun kecil getah dapat menikmati pendapatan lebih baik menerusi perniagaan yang diusahakan. 

Beliau berkata penguasaan kemahiran digital tidak boleh lagi dilihat sebagai alternatif, tetapi satu keperluan penting seiring dengan dunia yang semakin bergerak pantas ke arah pendigitalan ekonomi dan kerana itu, usahawan RISDA tidak boleh ketinggalan dalam arus perubahan berkenaan. 

Manndzri berkata pelbagai program pembangunan usahawan digerakkan bagi tujuan itu antaranya peluasan jaringan pemasaran produk melalui platform media sosial TikTok Shop di bawah jenama RisSMart, pemberian geran, kursus dan terbaharu penganjuran pertandingan Online Sales Challenge (OSC). 

Beliau berkata pertandingan OSC merupakan inisiatif terkini bersempena dengan Karnival RISDA MADANI (KARRISMA) Zon Timur untuk memperkukuh lagi keupayaan usahawan pekebun kecil mengadaptasi perniagaan dalam talian seperti TikTok Shop, Shopee dan penstriman langsung. 

“Jika dahulu mereka hanya bergantung pada pasaran tempatan, kini mereka perlu berani melangkah lebih jauh dengan memasarkan produk ke seluruh negara dan antarabangsa dengan hanya menggunakan telefon bimbit. 

“Dengan gabungan keusahawanan dan digitalisasi, RISDA mempunyai visi jelas untuk membantu pekebun kecil bukan sekadar menjadi peniaga tempatan, malah mampu bersaing pada peringkat global dan inilah aspirasi RISDA, membawa ekonomi desa ke tahap lebih tinggi,” katanya. 

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Pembukaan Karnival RISDA MADANI (KARRISMA) Zon Timur Tahun 2025 di sini malam tadi. 

KARRISMA Zon Timur melibatkan tiga negeri, iaitu Pahang, Terengganu dan Kelantan berlangsung selama tiga hari bermula pada Jumaat di pekarangan Stadium Darul Makmur di sini yang bertujuan mengangkat martabat komuniti desa khususnya pekebun kecil ke tahap lebih membanggakan. 

Mengulas lebih lanjut mengenai OSC, Manndzri berkata lebih 15,000 usahawan bimbingan RISDA di seluruh negara akan dapat menikmati manfaat pendigitalan itu sekali gus memenuhi hasrat Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mahu melihat pemerkasaan sosioekonomi komuniti luar bandar menjadi realiti. 

“Pertandingan OSC menawarkan hadiah utama geran pemasaran bernilai RM10,000 yang akan diberikan pada akhir karnival KARRISMA. Hadiah ini bakal memberi peluang kepada pemenang untuk memperkukuh strategi pemasaran digital sekali gus menyemarakkan lagi semangat keusahawanan pekebun kecil,” katanya. 

Mengenai KARRISMA Zon Timur yang merupakan penganjuran kali kedua selepas yang pertama di Kluang, Johor tahun lepas, beliau menyasarkan sebanyak 15,000 pengunjung akan hadir sepanjang program tiga hari itu.

“KARRISMA berkonsepkan ekspo rakyat dan di Zon Timur, sebanyak 109 pempamer dan peniaga termasuk 83 usahawan, 26 agensi kerajaan dan swasta terlibat. Untuk kali ini, RISDA menyasarkan hasil jualan sebanyak RM500,000 berbanding di Johor yang merekodkan RM314,000. 

“Sasaran ini diyakini dapat dicapai memandangkan kebanyakan usahawan RISDA menjual produk yang bersesuaian dengan kedatangan Ramadan, seperti makanan sejuk beku dan sebagainya,” katanya. 

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan