IPOH, 23 Feb (Bernama) -- Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad memaklumkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning perlu diadakan memandangkan penggal DUN ke-15 Perak belum mencapai tempoh mandat tiga tahun.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Kuning Ishsam Shahruddin, 59, meninggal dunia selepas menyertai perlawanan Kejohanan Bola Sepak 4 Penjuru di Stadium Bandaraya, Georgetown, Pulau Pinang, semalam disebabkan serangan jantung.
“Jadi kalau Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) nanti bermesyuarat, mereka akan putuskan bila dalam tempoh 60 hari ini (untuk PRK),” katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan kediaman Allahyarham Ishsam di Taman Desa Seri Ampang di sini hari ini.
Mesyuarat Pertama Tahun Pertama Persidangan DUN ke-15 Perak diadakan pada 19 Dis 2022.
Speaker DUN Perak Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid dilaporkan akan menghantar pemakluman notis kekosongan kerusi DUN Ayer Kuning kepada SPR seawalnya Selasa ini.
Sementara itu, Saarani berkata beliau kehilangan seorang rakan baik dan seorang wakil rakyat yang mencurahkan khidmat bakti kepada rakyat.
Beliau berkata Ketua UMNO Bahagian Tapah itu aktif mengetengahkan masalah rakyat di kawasannya dan sering memajukan permohonan peruntukan untuk meningkatkan kemudahan rakyat.
“Jadi saya yakin dia seorang wakil rakyat yang memberi perkhidmatan yang baik kepada masyarakat,” katanya.
Dalam pada itu, Saarani berkata dia telah menghubungi Pengerusi BN dan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung persiapan PRK DUN Ayer Kuning.
“Kita tidak akan tunggu pengumuman SPR, kita akan terlebih dahulu melakukan kerja-kerja ke arah PRK,” katanya.
Saarani berkata beliau juga akan melakukan perjumpaan dengan jawatankuasa UMNO Bahagian Tapah bagi membincangkan gerak kerja PRK berkenaan pada Rabu ini.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-15, Ishsam memenangi kerusi DUN Ayer Kuning dengan majoriti 2,213 undi dalam pertembungan lima penjuru.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial