WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KAJIAN SEMULA KUTIPAN BAYARAN BALIK PTPTN, PENGURUSAN DPF ANTARA ISU TUMPUAN LKAN

24/02/2025 10:17 AM

KUALA LUMPUR, 24 Feb (Bernama) -- Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) perlu mengkaji semula mekanisme kutipan bayaran balik pinjaman pendidikan dan meningkatkan pemantauan terhadap pengurusan pinjaman pendidikan agensi itu.

 Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 1/2025 mengenai Penyata Kewangan Agensi Persekutuan Tahun 2023 menyebut bahawa sehingga 31 Disember 2023, tunggakan bayaran balik pinjaman pendidikan PTPTN berjumlah RM10.853 bilion melibatkan 1.2 juta peminjam.

“Bayaran balik pinjaman pendidikan yang tertunggak juga menunjukkan peningkatan dari tahun 2019 hingga 2023,” kata Ketua Audit Negara Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi dalam kenyataan susulan pembentangan LKAN 1/2025 di Dewan Rakyat hari ini.

Mengenai pelaksanaan pengurusan Dana Penyelidikan Fundamental (DPF) oleh lima universiti penyelidikan (RU) awam, Wan Suraya berkata ia memerlukan pemantauan berkala bagi memastikan projek dilaksanakan mengikut perancangan dan mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) ditetapkan.

“Laporan audit menunjukkan tahap kemajuan projek penyelidikan DPF berada pada tahap kurang memuaskan (53.9 peratus). Hanya 11.3 peratus projek yang dilaksanakan berada pada tahap baik sementara 7.3 peratus dikategorikan sebagai bermasalah,” katanya. 

Menyentuh isu usaha berterusan (going concern) Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) berdasarkan kedudukan kewangannya setakat 31 Disember 2023, beliau berkata kemampuan SWCorp menampung kos operasi dan komitmen kewangan pada masa hadapan bergantung kepada tambahan bantuan kewangan kerajaan Persekutuan.

Beliau berkata masalah PTPTN, DPF dan SWCorp termasuk dalam Fokus Utama Audit iaitu satu daripada tiga isu tumpuan LKAN 1/2025 selain isu Pengesahan Penyata Kewangan dan Analisis Penyata Kewangan.

Ketua Audit Negara menerusi LKAN itu turut mengemukakan 10 syor kepada agensi Persekutuan bagi tujuan penambahbaikan.

Antaranya tindakan proaktif untuk meningkatkan kawalan dalaman agensi dan menambah baik sistem kewangan sejajar dengan keperluan piawaian perakaunan yang diterima pakai bagi memastikan pelaporan kewangan adalah tepat dan pengurusan tatakelola kewangan yang berkesan.

Wan Suraya berkata ia bagi memastikan keupayaan agensi Persekutuan untuk meneruskan operasi berdasarkan usaha berterusan dan mengurangkan liabiliti bersifat komitmen kewangan serta mengurangkan kebergantungan kepada kerajaan.

Syor lain adalah mengkaji semula hala tuju dan pelan perniagaan syarikat subsidiari yang mengalami kerugian dan tidak memberikan pulangan sewajarnya.

Selain itu, agensi Persekutuan juga dicadangkankan memberi perhatian serius kepada beberapa isu termasuk mengambil tindakan untuk menutup syarikat subsidiari berstatus dorman atau tidak aktif melebihi lima tahun.

LKAN 1/2025 mengenai Penyata Kewangan Agensi Persekutuan Tahun 2023 boleh dimuat naik di Laman Web Jabatan Audit Negara selepas pembentangan di Dewan Rakyat dan orang awam boleh melayarinya di alamat http://lkan.audit.gov.my.

Sebarang pertanyaan lanjut dan pandangan mengenai laporan itu boleh dialamatkan kepada jbaudit@audit.gov.my.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan