WILAYAH - TENGAH > BERITA

SEBANYAK 702 PROJEK DPF YANG TELAH TAMAT PADA TAHUN 2023 BELUM CAPAI KPI DITETAPKAN - LKAN

24/02/2025 05:34 PM

KUALA LUMPUR, 24 Feb (Bernama) -- Sebanyak 42.1 peratus atau 702 daripada 1,668 projek Dana Penyelidikan Fundamental (DPF) yang telah tamat dalam tahun kewangan 2023 masih belum mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan, menurut Laporan Ketua Audit Negara 1/2025 yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini.

Setakat 31 Dis 2023, daripada 2,077 projek DPF yang sedang dilaksanakan oleh lima Universiti Penyelidikan (RU), hanya 236 projek atau 11.3 peratus dinilai berada pada tahap baik, sementara 571 projek (27.5 peratus) dalam kategori memuaskan.

Laporan itu menyatakan daripada 2,077 projek DPF yang sedang dilaksanakan itu, 1,119 daripadanya iaitu (53.9 peratus) berada dalam kategori kurang memuaskan manakala 151 projek (7.3 peratus) lagi dikenal pasti sebagai bermasalah.

Lima RU yang melaksanakan projek DPF itu ialah Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Menurut laporan itu, Analisis Audit mendapati USM mencatat tahap kemajuan projek baik yang tertinggi dengan 206 projek (37 peratus) bernilai RM31 juta.

Sementara itu, UKM merekodkan jumlah projek bermasalah tertinggi dengan 111 projek (16.5 peratus) bernilai RM13.24 juta.

Laporan itu turut mendedahkan bahawa lima RU masih mempunyai baki peruntukan sebanyak RM183.53 juta untuk 3,569 projek DPF.

Daripada jumlah itu, RM144.34 juta adalah bagi 1,789 projek yang sedang dilaksanakan, manakala RM39.19 juta merupakan baki bagi 1,780 projek yang telah tamat.

Sehubungan itu, Ketua Audit Negara mengesyorkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan RU untuk meningkatkan pemantauan secara berkala terhadap pelaksanaan projek penyelidikan bagi memastikan perancangan dipatuhi serta KPI dicapai.

Menurut laporan itu, KPT juga perlu meneliti permohonan daripada Pusat Pengurusan Penyelidikan dari segi kebolehlaksanaan projek penyelidikan tersebut bagi mengelakkan ia terbengkalai dan ditamatkan.

Selain itu, laporan itu mencadangkan agar dasar yang jelas berkaitan penggunaan baki peruntukan bagi projek penyelidikan yang telah tamat ditetapkan, bagi memastikan dana tersebut dimanfaatkan sepenuhnya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan